29 November 2009

Kerajaan Terus Mengutamakan Pembangunan Insan
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Selaras dengan pembangunan jangka panjang yang holistik, kerajaan negeri terus mengutamakan pembangunan modal insan, khususnya di bidang pendidikan, kebajikan, pembangunan insan dan kemudahan sukan


Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah yang telah mula memulakan kerja-kerja fizikal sejak September 2009 dan dijangka siap pada September 2012, menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Ucapan Bajet 2010.

“Tapak seluas 830 ekar untuk pembinaan Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil telah disediakan oleh Bina Darulaman Bhd, kontrak pembinaan telah ditawarkan kepada Kedah Sato Sdn Bhd dengan nilai kontrak RM 330 juta.

“Pembiayaan projek ini akan menggunakan peruntukan pembangunan kerajaan negeri secara bayaran tertangguh. Bagi tahun 2010, kerajaan telah memperuntkkan sejumlah RM 11 juta bagi membiayai kos awalan projek,” ujar beliau.

Usaha memperkasakan Maktab Mahmud sebagai institusi pelajaran milik kerajaan negeri di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang merupakan lambang kebanggaan negeri sejak zaman berzaman akan diteruskan.

“Selain melengkapkan kemudahan prasarana dan tambahan bilangan guru terlatih, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM 28.5 juta, tambahan sebanyak RM 2 juta untuk membiayai kos operasi Maktab Mahmud,” tambah beliau.

Menurut YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan, peruntukan sebanyak RM 7.7 juta akan digunakan untuk bayaran elaun kepada Ketua Kampung atau Ketua Komuniti dan aktiviti memperkukuhkan Institusi Majlis Ketua Kampung.

Bagi menggalakkan program pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan negeri menyediakan sebanyak RM 4.2 juta kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah untuk menyediakan bahan bacaan di semua Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Desa.

Sebagai usaha meningkatkan pencapaian negeri Kedah dalam bidang sukan, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 4.9 juta kepada Program Pembangunan Sukan.

26 November 2009

PERUTUSAN `EIDUL ADHA 1430 DARI ADUN JENERI



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Sempena dengan `Eidul Adha kali ini, saya Hj Yahya Abdullah, ADUN N24 Jeneri, Sik Kedah bersama keluarga mengucapkan `Selamat Edul Adha, Maaf Zahir Batin'. Semoga `Eidul Adha 1430 ini membawa berkat kepada kita semua, InsyaAllah.

`Eidul Adha atau hari raya korban ini sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan `Eidul Fitri. Nikmat `Eidul Adha akan menusuk disanubari kita sekiranya kita berusaha memahami dan menghayati konsep, falsafah dan pengajaran di sebalik ibadat haji dan korban dalam erti kata yang lebih luas. Jangan jadikan semangat pengorbanan dan penyatuan ummah ini hanya sekadar bermusim, ibarat datang dan perginya musim haji itu sendiri setiap saban tahun.

Umat Islam dituntut supaya sentiasa bergandingan tangan, bermuafakat dan saling bantu-membantu tidak kira waktu senang mahupun susah. Tinggalkan segala perbezaan dan elakkan perbalahan sesama sendiri. Hal ini begitu penting sekali agar kita semua menjadi umat yang bersatu padu dan kuat demi membela nasib saudara seagama yang memerlukan. Semoga Eidul Adha kali ini mendatangkan keinsafan dan membawa erti pengorbanan yang lebih besar buat umat Islam seterusnya, insya-Allah.

Wassalam.

23 November 2009


MB KEDAH MEREDAH MALAM LAWAT MANGSA BANJIR

Oleh: AMELIA HASHIM


KUBANG PASU: Kesibukan dalam urusan pentadbiran pada siang hari bukan penghalang sebelah malamnya untuk meredah kegelapan melawat mangsa banjir di pusat-pusat penempatan sementara di sini.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak meluangkan masa sehingga jam 11.00 malam melawat mangsa-mangsa banjir di empat pusat penempatan sementara dalam Daerah Kubang Pasu.

Penempatan itu termasuklah Sekolah Rendah Kebangsaan Jitra 11, Dewan Orangramai Malau, Kuaters Loji Air Pelubang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas.

Turut sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah YB Dr Abdul Isa Isa Ismail, dan Pegawai Daerah Kubang Pasu Dato’ Hajah Che Barni Mohd Noor serta ketua-ketua jabatan.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan mengucapkan terima kasih kerana kesabaran semua pihak termasuklah mangsa-mangsa banjir dalam menghadapi ujian ini.

“Saya terharu dengan kesabaran tuan-tuan dan puan-puan yang sanggup meninggalkan rumah dan harta benda semata-mata untuk keselamatan diri. Kita juga bersyukur kerana di Kedah tidak berlaku kematian akibat banjir.

“Kejadian banjir adalah hak Tuhan. Untuk mengatasinya sebagai manusia kita usahakan sekadar apa yang boleh kita buat. Sedangkan kaum Nabi Noh juga Tuhan uji dengan banjir besar”, katanya.

Oleh kerana kedatangan banjir bukan lagi perkara luar biasa, persiapan tempat tinggal sementara serta kemudahan lain sudah disediakan. Pelbagai pihak menghulur bantuan terutama makanan serta tidak ketinggalan peralatan lain seperti selimut dan bantal.

Dalam lawatan itu, YAB Dato’ Seri Azizan juga menyerahkan sumbangan barangan makanan, selimut, katil, pemidang dan mineral pot. Selain itu beliau juga menyerahkan lembu korban seekor bagi satu pusat penempatan banjir berkenaan.

Mangsa-mangsa banjir tidak sendirian mengahadapi musibah ini. Menurut Pegawai Daerah Kubang Pasu Dato’ Hajah Che Barni, semua pihak menunjukkan prihatin termasuklah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat, Tenaga Nasional Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah dan Pejabat Daerah.

11 November 2009

Bersama Masyarakat Siam

YB Hj Yahaya bin Abdullah, ADUN Jeneri bersama Ketua Kampung Tuan Hj. Abdul Rahim melawat penduduk Kg. Chong untuk bertanya khabar berkaitan dengan masyarakat Siam.


09 November 2009

PAS dan Kedah Sejahtera 2

Kedah Sejahtera setahun berlalu

MKK perlu pastikan tiada penduduk yang terpinggir

ALOR SETAR – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah selaku ADUN Alor Mengkudu, YB. Dr Ismail Salleh menyeru kepada para penghulu serta ketua kampung perlu bekerjasama dalam memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada arus pembangunan kerajaan.

Katanya, ketua kampung di bawah seliaan penghulu berperanan sebagai penghubung di antara masyarakat dengan jabatan-jabatan kerajaan perlu mengenali penghulu masing-masing dalam memastikan moto Kedah Sejahtera tercapai.
Beliau berkata demikain dalam majlis taklimat dan dialog antara ADUN dengan Penghulu dan Majlis Ketua Kampung bagi DUN Angkat, Bakar Bata yang telah berlangsung di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar.
“Ketua kampung perlu berhubung serta kenal penghulu mereka agar mereka dapat bekerjasama, bergerak bersama serta berbincang projek yang bakal dilakukan bagi membangun dan memajukan kawasan pentadbiran masing-masing.
“Saya dalam rangka menyediakan direktori nama serta nombor telefon penghulu-penghulu serta ketua-ketua kampung sebagai rujukan tuan-tuan bagi memudahkan untuk berkomunikasi,” ujar beliau.
Tambah beliau, mesyuarat perlu diadakan antara penghulu dengan ketua kampung bagi memastikan masalah berbangkit mengenai penduduk dapat diselesaikan serta projek yang dirancangkan berjalan lancar.
“Bagi penghulu yang ada ketua kampung sentiasa, dari segi pentadbirannya perlu disusun dengan baik, iaitu dari segi mesyuarat secara rasmi atau tidak mesti diadakan, bila ada masalah apa-apa boleh dibawa berbincang untuk penyelesaian.
“Jika mesyuarat tak ada atau jarang-jarang, pelbagai masalah berbangkit akan timbul, banyak benda tergendala, bila ada mesyuarat, kita boleh follow-up masalah untuk diselesaikan,” jelas beliau.
Tambah YB. Dr Ismail. sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam pentadbiran negeri, ketua kampung perlu lebih bertanggungjawab ke atas tugas yang diamanahkan, yang mana produktiviti kerja mereka turut member impak kepada kerajaan.
“Kita perlu ada rasa gah yakni bukan sombong atau angkuh, tetapi perasaan tanggungjawab terhadap kampung seliaan kita dan turut rasa tanggungjawab dari segi Islam dalam menjalankan tugas, InsyaAllah diberkatiNya,” jelas beliau

03 November 2009

Gotong Royong Perdana Pekan SIk bersama Exco




1hb. November 2009, Gotong royong Perdana bersama Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. DATO' HAJI IR. PHAHROLRAZI BIN HAJI MOHD ZAWAWI Porfolio Perumahan Dan Kerajaan TempatanPembangunan Luar BandarMembasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga di Pekan Sik. Antara acara yang menarik ialah menanam pokok. Turut hadir adalah YB Hj. Yahaya bin Abdullah ADUN Jeneri.