26 September 2011

HUDUD : Antara prinsip, keadilan dan helah politik.

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Perjuangan penting untuk umat Islam di Malaysia ialah mewujudkan suasana yang kondusif sebelum sesuatu undang-undang seperti hudud dilaksanakan.

Pakar Al-Quran dan Hadis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata suasana kondusif bermaksud tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat.

“Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut bekas Mufti Perlis itu, jika undang-undang hudud dilaksanakan dalam keadaan yang tidak kondusif seperti sekarang, antara natijah negatif yang mungkin berlaku ialah:

* Yang dihukum orang bawahan, dilepas orang atasan;

* Yang dihukum penzina; yang diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh;

* Yang dihukum peminum arak, yang digalakkan gambaran arak;

* Yang dihukum pencuri, yang dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan;

* Yang dihukum pemberontak; yang dibiarkan kezaliman penguasa.

Dalam keadaan seperti itu, Dr Mohd Asri berkata, sudah pasti hudud tidak dapat dilihat keindahannya, bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, ia boleh membinasakan masyarakat.

Menurutnya lagi, hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam kerana ia adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah.

“Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya.

“Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata bahawa dalam negara Islam, keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum yang tidak membezakan antara hukuman terhadap orang besar dan orang bawah.

“Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” katanya.

Beliau menambah keadilan Islam perlu diperlihatkan melalui kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga dan kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Dr Mohd Asri memberi contoh satu hadis di mana Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan atau pun musafir kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan suasana yang tidak kondusif.

Dengan melihat kepada nas yang seperti itu, katanya, persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Pada Januari lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa hukum hudud dan negara Islam yang diperjuangkan PAS tidak menjadi agenda utama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Hudud bukan agenda bersama Pakatan Rakyat, mana-mana negara nak laksanakan hukum hudud kena ikut prasyarat… kalau tidak, tidak boleh (laksanakan).

“Antara prasyarat adalah keadilan ekonomi, gaji minumum, kalau mencuri sebab miskin tidak boleh laksanakan (hukum hudud), pemerintah yang perlu dipersalahkan,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan berkata bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Pendirian kita (UMNO), kita tak boleh melaksanakan dalam situasi dan keadaan sekarang. Saya tak fikir dalam keadaan sekarang ia sesuai untuk dilaksanakan. Itu pandangan kita. Kita tak persoalkan nak melaksanakan hukum hudud,” katanya, mengikut laporan Bernama.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya akan dibuat setelah diterima oleh rakyat selepas mengikut keadah dan saluran demokrasi serta melalui proses legislatif-perundangan, dan bukan secara paksaan.

“Serangan PAS terhadap rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan pembaziran UMNO serta urus tadbir khianat dan pincang, adalah terbit dari prinsip Islam yang kami dukungi.

“Tidak dengan hudud pun kita boleh tentang UMNO dan Ketuanan Melayu yang sempit dengan Umnoputeranya,” kata beliau.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pula mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan media UMNO-BN yang sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

“Isu ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya akan datang.

“Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” katanya. – Roketkini.com

15 September 2011

Majlis Rumah Terbuka MTD Jeneri meriah...



9 Sept 2011 - Rumah Terbuka Aidilfitri MTD Jeneri berlansung di Dataran Kompleks PAS Kawasan Sik, Kg. Sungai Pau yang dihadiri seluruh rakyat di seluruh Dun Jeneri, dan diserikan lagi dengan kehadiran Kelab Sukarelawan Belia Daerah Sik membuat pelancaran pada hari tersebut.

08 September 2011

02 September 2011

RUMAH TERBUKA YANG BERHORMAT.

Tarikh : 5 Syawal 1432 bersamaan 3 September 2011
Masa : 2.00 Petang - 5.00 Petang
Tempat : Darul Abrar Kuala Dahanan, Jeniang Kedah.

Semua rakyat dijemput hadir....

JAMUAN AIDILFITRI YB. HAJI YAHYA BIN ABDULLAH