10 September 2008

Monday, September 8, 2008
BANYAKKAN INFAK DI BULAN RAMADHAN
Oleh Izwan Abdul Halim

JENIANG: Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru umat Islam memperbanyakkan amalan infaq dan sedekah di sepanjang bulan Ramadhan disamping meneruskan ibadah seperti solat tarawih, tahajud, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Fakir Miskin Daerah Kuala Muda, di Masjid Safwan di sini, 4 September baru-baru ini.Ujarnya, disebalik amal ibadah yang biasa dikerjakan di bulan Ramadhan, masih kurang mereka yang mengadakan kebajikan dalam bentuk kebendaan dengan memberi infaq iaitu membelanjakan harta ke jalan Allah.

"Kerana di bulan Ramadhan ini, galakannya hingga sebiji tamar dan segelas air," ujar beliau memberi galakan.

Katanya, Nabi sendiri turut menyeru agar memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan khususnya memberi orang makan ketika berbuka puasa. Kerana itu katanya, masyarakat dahulu mengamalkan budaya saling memberi juadah untuk berbuka.

"Sesiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, maka dia akan mendapat pahala orang berpuasa dan pahala orang berpuasa itu tidak kurang sedikit pun," ujar beliau melafazkan maksud hadis.

Menteri Besar turut menegur budaya masyarakat kini yang lebih cenderung mengadakan jamuan moreh sedangkan menurut beliau Nabi lebih menggalakkan memberi makan orang berbuka di mana pahalanya lebih besar dan amat dituntut.

Melanjutkan ucapan, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa, antara dasar Islam ialah tolong menolong.

"Maknanya orang kaya tolong orang miskin dan orang miskin mendoakan orang berada. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat harmoni," terang beliau.

Tambahnya lagi, ada manusia yang Allah SWT tidak berikannya harta kerana dengan harta dia boleh menjadi tidak baik. Tetapi ada manusia, menurut Ustaz Azizan yang dilebihkan harta untuknya supaya dia membuat kebajikan untuk golongan tidak berada.

Pada program tersebut, Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada 100 fakir miskin sebelum turut serta pada majlis tahlil dan berbuka puasa yang dianjurkan.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dr Abdul Isa Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato' Tuan Haji Ir Phahrolrazi Zawawi, Adun Jeneri, YB Tuan Haji Yahya Abdullah dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato' Ghazali Din.