23 November 2009


MB KEDAH MEREDAH MALAM LAWAT MANGSA BANJIR

Oleh: AMELIA HASHIM


KUBANG PASU: Kesibukan dalam urusan pentadbiran pada siang hari bukan penghalang sebelah malamnya untuk meredah kegelapan melawat mangsa banjir di pusat-pusat penempatan sementara di sini.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak meluangkan masa sehingga jam 11.00 malam melawat mangsa-mangsa banjir di empat pusat penempatan sementara dalam Daerah Kubang Pasu.

Penempatan itu termasuklah Sekolah Rendah Kebangsaan Jitra 11, Dewan Orangramai Malau, Kuaters Loji Air Pelubang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas.

Turut sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah YB Dr Abdul Isa Isa Ismail, dan Pegawai Daerah Kubang Pasu Dato’ Hajah Che Barni Mohd Noor serta ketua-ketua jabatan.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan mengucapkan terima kasih kerana kesabaran semua pihak termasuklah mangsa-mangsa banjir dalam menghadapi ujian ini.

“Saya terharu dengan kesabaran tuan-tuan dan puan-puan yang sanggup meninggalkan rumah dan harta benda semata-mata untuk keselamatan diri. Kita juga bersyukur kerana di Kedah tidak berlaku kematian akibat banjir.

“Kejadian banjir adalah hak Tuhan. Untuk mengatasinya sebagai manusia kita usahakan sekadar apa yang boleh kita buat. Sedangkan kaum Nabi Noh juga Tuhan uji dengan banjir besar”, katanya.

Oleh kerana kedatangan banjir bukan lagi perkara luar biasa, persiapan tempat tinggal sementara serta kemudahan lain sudah disediakan. Pelbagai pihak menghulur bantuan terutama makanan serta tidak ketinggalan peralatan lain seperti selimut dan bantal.

Dalam lawatan itu, YAB Dato’ Seri Azizan juga menyerahkan sumbangan barangan makanan, selimut, katil, pemidang dan mineral pot. Selain itu beliau juga menyerahkan lembu korban seekor bagi satu pusat penempatan banjir berkenaan.

Mangsa-mangsa banjir tidak sendirian mengahadapi musibah ini. Menurut Pegawai Daerah Kubang Pasu Dato’ Hajah Che Barni, semua pihak menunjukkan prihatin termasuklah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat, Tenaga Nasional Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah dan Pejabat Daerah.