11 Disember 2009
AMANAT YAB MENTERI BESAR KEDAH
Sama-sama bangunkan negeri Kedah
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak tidak lupa akan kakitangan kerajaan yang banyak membantu kerajaan negeri mentadbir Negeri Kedah.
Dengan mengambil sikap ‘sama-sama kita berusaha membangun negeri Kedah yang dicintai’, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan tidak lupa akan tanggungjawabnya untuk memberi amanat tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kakitangan kerajaan, disamping ilmu agama yang manfaat kepada semua.
Pada perhimpunan bulanan yang diadakan di Wisma Darul Aman pada 7 Disember, Menteri Besar mengingatkan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta diri beliau sendiri agar berlaku adil dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat, jangan berlaku zalim kepada mereka, di mana menurut hadis, Allah kabulkan doa mereka yang dizalimi.
“Saya tekankan sangat, jangan buat zalim pada orang, jadi saya minta semua rakyat tolong tunjukkan di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya dapat kita perbaiki, dan kita (kerajaan) mengaku tak semua kita buat adil, tunjuk kezaliman yang kita buat, untuk kita baiki segera
“Kadang-kadang dia buat zalim, tapi tak sedar, dalam konteks pentadbiran umpamanya, saya baru balik dari mesyuarat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tentang undang-undang Tanah Negara, Malaysia punya rekod buruk, proses pengambilan tanah paling cepat setahun, ada empat tahun.
“Ini ada hubungkait dengan pembangunan sesebuah negeri, satu pelaburan nak mai, dia (pelabur) kena tunggu setahun, bila dah lambat, dia pergi ke lain, bawa pelaburan tu ke Negara lain, hak itu hak rakyat, itu kezaliman kepada pelabur, kepada rakyat dan rezeki kepada orang lain.
“Ini melibatkan semua kakitangan, bermula dari Menteri Besar, Exco, ketua jabatan dan kakitangan, saya tak cakap pasal peraturan insan, saya cakap pasal efisyen dalam kerja,” ujar beliau.
Doa adalah senjata yang dapat menguatkan manusia menghadapi cubaan hidup. Justeru, sebagai kakitangan kerajaan, kita disarankan untuk berdoa agar tanggungjawab yang diamanahkan dapat dipikul dengan sebaik mungkin.
“Kita sebagai manusia, Allah perintah kita untuk berdoa, nescaya Allah akan kabulkan doa kita, pagi ini, saya nak doa ringkas saja, kita pohon selamat pada agama.
“Yang kedua, bagi sejahtera, iaitu sihat tubuh badan kita untuk datang kerja, bila badan kita sihat, kita dapat tunai tanggungjawab kepada semua pihak, otak yang baik itu datang daripada badan yang sihat, jangan fakir bahawa sukan itu tak ada hubungkait dengan ajaran Islam, sebab itu saya galakkan tuan-tuan bersukan.
“Yang ketiga, minta Allah tambah ilmu. Pertambahan ilmu adalah melalui hasil apa yang kita belajar serta pengalaman.
“Maka dalam konsep pentadbiran hari ini, kita bagi kenaikan pangkat berdasarkan kelayakan akademik dan performance, pertambahan ilmu ini melalui pembacaan, pengajian, pendengaran dan kursus seperti yang kita bagi pada tuan-tuan, ini kerana pertambahan ilmu ini dapat dimanfaatkan untuk kepentingan orang lain serta kerjaya kita,” ujar beliau.
Tambah beliau, rezeki yang diperolehi juga mestilah dari sumber yang halal bagi mendapat keberkatan Allah.
“Pendapatan yang kita dapat dari sekecil-kecil hingga setinggi, kalau kita dapat secara halal, tak ada masalah, dengan rezeki ini bagi anak isteri. Jadi keberkatan itu penting, banyak dalam dunia hari ini, orang-orang yang terlibat dengan rasuah adalah mereka yang berpangkat besar, sebab dia ada kuasa.
“Maka, berkat ini ada hubungkait dengan doa, ada doa yang Allah tak Kabul sebab apa yang dia (manusia) pakai, makan, minum adalah benda haram,” ujar beliau.