28 Mac 2010

Tanggungjawab Kerajaan Pakatan Rakyat



BALING – Kerajaan negeri Kedah sentiasa berusaha menyediakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah kepada rakyatnya agar akhlak serta akidah mereka tidak terpesong dari landasan agama.

Solat tiang agama, jika tiang itu tidak didirikan tentulah runtuh agama seseorang. Solat telah difardukan ke atas setiap muslim sebagai tanda kepatuhan penuh ikhlas kepada Allah S.W.T.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka mendirikan solat yang berhubungkait dengan penularan gejala sosial yang melanda belia.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, rakyat yang beragama serta mengenal Tuhannya, maka sudah tentu mereka akan mengenali ibu bapa, jiran seterusnya mengukuhkan hubungan sesama insan.

“Dalam rukun Islam, pertama mengucap kalimah syahadah, kemudian solat yang wajib kepada semua umat Islam, sama ada dalam keadaan sihat dan sakit sekalipun. Sembahyang itu akan cegah manusia daripada melakukan perbuatan yang ditegah dalam agama.” jelas beliau pada Majlis Perasmian Penutupan Kem Anak Soleh yang diadakan di Maktab Mahmud Baling.

Tambah beliau, menerusi kem ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri memastikan akhlak dan moral umat Islam akan terus digilap serta dipelihara dengan baik.

Selain itu, kem ini juga dapat mendidik anak-anak yang masih diperingkat sekolah rendah celik solat hingga mereka mampu mendidrikan solat sendirian.

“Masalahnya dalam kita sibuk dalam mengejar kehidupan dunia, tetapi kita lupa terlupa untuk menyediakan didikan agama yang septutnya. Maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam dua perkara membekalkan didikan agama kepada anak-anak yang dilahirkan suci tanpa sebarang dosa.

“Saya sebagai ketua kerajaan juga bertanggungjawab kepada rakyat, saya arahkan Exco-Exco saya laksanakan program yang manfaat kepada rakyat terutama dari segi agama. Baik kita habis duit untuk tujuan perkara-perkara yang baik kepada rakyat,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr Ismail Salleh, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Sohibus Saadah Dato’ Syeikh Uzir Haji Baharom, Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah, Mohd Zohdi Saad, ADUN Kuala Ketil, YB. Md Zuki Yusof, ADUN Kupang, YB. Johari Abdullah dan Pegawai Daerah Baling, Haji Ahmad Fisol Md Nor.