14 Jun 2010

‘Kasih Ibu Kasih Abadi’ tema sambutan Hari Ibu Negeri Kedah bagi Tahun 2010

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI – ‘Kasih Ibu Kasih Abadi’. Itulah tema bagi sambutan Hari Ibu Negeri Kedah bagi Tahun 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, tema pada tahun ini sangat tepat sebagai membuktikan bahawa kasih ibu tiada bandingannya dan tidak boleh dinilai dengan harta benda.

“Jasa dan pengorbanan ibu bukan sahaja diraikan pada Hari Ibu sahaja, malah ianya harus dilakukan setiap masa kerana kasih ibu-ibu berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Sebenarnya kita tak berdaya membalas jasa ibu, oleh itu kita digalakkan berdoa kepada ibu bapa selepas solat sama ada mereka masih hidup mahupun telah meninggal dunia,” ujar beliau pada sambutan Hari Ibu tahun 2010 di Hotel SP Inn, di sini.

Sambutan tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr Abd Isa Ismail, Mufti Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan ADUN-ADUN.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan dikejutkan dengan pemberian potret arwah bonda beliau serta tayangan video khas perjalanan kisah hidup bonda YAB Menteri Besar.

Para jemputan begitu terharu dengan persembahan teater yang menyentuh perasaan oleh Rentak Alor Production serta slot luahan perasaan anak-anak kepada ibu-ibu.

Selain itu majis dimuatkan dengan forum khas Hari Ibu ‘Kasih Ibu Kasih Abadi’ serta persembahan nasyid dan nyanyian oleh Azhan Atan serta artis Bintang Kecil.