22 November 2010

Akta Siber, Supaya Rakyat Pekak Dan Buta Maklumat.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri yang akan memperkenalkan garis panduan bagi menerangkan definisi kesalahan hasutan secara terperinci satu lagi usaha untuk membuta dan memekakkan rakyat untuk mendapat maklumat sebenar di negara ini. PAS berpandangan tindakan ini lebih kepada usaha untuk membendung maklumat penyelewengan kerajaan BN dapat diketahui oleh rakyat di negara ini.

Seperti yang kita sedia maklum Umno BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini. Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini, walaupun mereka mengupah individu untuk melemparkan fitnah kepada PAS dan Pakataan Rakyat. Pertarungan dan perbahasan di media baru berakhir dengan individu yang makan upah Umno BN lari lintang pukang kerana tidak tahan dengan asakan yang dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat

Seluruh jentera Umno sudah tidak bermaya, ia hanya bergantung kepada media radio dan televisyen sahaja. Malahan setengah tempat Umno terpaksa swastakan program penerangan melalui NGO yang pro Umno supaya menganjurkan program, jika tidak orang tidak mahu datang jika atas lambang Umno. Sebab itu tidak hairan kepada kita BN sudah membuka peluang kepada NGO untuk bersama BN seperti yang diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi BN.

PAS berpendapat tidak cukup lagi kah Umno mengongkong rakyat dengan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan. Kerajaan boleh bertindak ,mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan. Adakah salah rakyat pada hari ini mendapat maklumat yang benar supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat untuk melantik pemegang amanah khazanah di negara ini. Jika maklumat yang didedahkan ini seperti maklumat ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa maka kerajaan boleh bertindak. Tetapi jika maklumat yang didedahkan ialah penyelewengan yang merugikan negara dan rakyat, kenapa perlu kerajaan takut untuk menghadapi penghakiman yang akan dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat