04 Januari 2010

DAERAH SIK SEMAKIN MAJU DIBAWAH KERAJAAN SEKARANG


SIK – Draf Rancangan Tempatan Daerah Sik 2007-2020 telah menetapkan wawasan pembangunan bagi daerah Sik adalah untuk menjadikan Sik sebagai daerah eko-pelancongan serta pusat industri asas tani secara mampan tanpa mengabaikan kesejahteraan penduduk.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, draf rancangan tempatan ini merupakan usaha kerajaan di bawah pengawasan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dan Majlis Daerah Sik untuk membangunkan dan menaiktaraf ekonomi, sosial dan fizikal daerah Sik supaya standing dengan daerah-daerah lain yang maju di Kedah.

“Terdapat dua fokus utama di sini, iaitu eko-pelancongan dan industri asas tani, ini adalah selaras dengan kekuatan yang sedia ada pada daerah Sik iaitu sumber semulajadi yang kaya dengan biodiversity yang pelbagai dan layak sangatlah daerah Sik diangkat menjadi daerah eko-pelancongan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Sik 2007-2020 di Dewan Wawasan Gemilang Majlis Daerah Sik.

Menurutnya, bagi pembanguan eko-pelancongan, kemudahan infrastruktur perhubungan perlu dipertingkatkan dan pelbagai kemudahan sokongan perlu disediakan di setiap kawasan tarikan semulajadi seperti Hutan Simpan Ulu Muda yang menempatkan Taman Eko Ulu Muda, Taman Eko Lasor, Tasik Muda dan Kem Labua.

“Hutan Simpan Ulu Muda yang dikenalpasti sebagai hutan warisan negeri dan diiktiraf sebagai salah satu daripada sepuluh destinasi eko-pelancongan di Malaysia. Ia perlu dibangun dan diuruskan secara mampan dengan menitikberatkan kepada keperluan generasi semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang,” jelasnya.

Ujarnya, dari segi industri asas tani, Sik memang terkenal dengan ikan pekasam, kuih muih tradisional, ikan hiasan dan produk jenama ‘Klasik’ telahpun memasuki pasaran luar. Beris Jaya merupakan projek perintis industri asas tani Kementerian Pertanian.

“Aktiviti pertanian memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi daerah Sik dan telahpun dikenlapasti sebagai daerah perintis industri asas tani dengan aktiviti ditumpukan di Beris Jaya,” jelasnya.

Draf rancangan tempatan ini juga telah mencadangkan pembangunan pengangkutan dan pengurusan lalulintas yang berkesan di daerah Sik.

“Menyedari kepentingan perhubungan di dalam menyuntik pembangunan daerah dan negeri, maka tumpuan tidak hanya diberi kepada sistem perhubungan di dalam daerah semata-mata, tetapi turut mencadangkan peningkatan sistem perhubungan antara daerah dan negeri-negeri bersempadan,” ujar beliau.

Dalam ucapan aluan Yang Dipertua Majlis Daerah Sik, Tuan Haji Adzmi Din, selaras dengan saranan kerajaan negeri mengalu-alukan perancangan bersama rakyat, di mana rakyat diberi peluang untuk merancang secara bersama dalam menghasilkan suatu rancangan pemajuan yang baik serta dapat membantu kerajaan negeri serta tempatan dalam membuat keputusan perancangan dengan lebih pantas, berkesan dan telus, seterusnya tercapailah persekitaran kehidupan yang berkualiti dan selesa bagi memberi kesejahteraan orang awam.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Ir. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, YB. Tuan Haji Yahya Abdullah, Pengarah JPBD, YBhg. Tuan Haji Noran Sharif serta Pengarah Bahagian Rancangan Pembangunan, Pejabat Projek Zon Utara JPBD, Tuan Haji Zaini Ishak.