27 Januari 2010

Tunku Annuar dimasyhurkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah


Oleh: AMELIA HASHIM

ANAK BUKIT, 25 Janurari: Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Bendahara Kedah Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Yang DiPertua Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman mulai 26 Januari 2010 bersamaan 10 Safar 1431.

Turut sama dimayshurkan ialah YTM Tunku Temenggung sebagai Tunku Bendahara, YTM Tunku Laksamana sebagai Tunku Temenggung dan YTM Tungku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Tunku Laksamana.

Pemasyhuran ini diadakan kerana KDYMM Tuanku Sultan Kedah akan dilantik sebagai pemangku Yang Dipertuan Agung selama 15 hari mulai esok.

Istiadar Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman berlangsung dengan penuh istiadat di hadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah ke Balai Penghadapan dengan diiringi pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar Pedang dan Lembing. Ikut sama Juru iring tentera dan polis dengan didahului oleh Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera Dato’ Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Payung-payung istiadat dkembangkan dan nobat dipalu mengiringi KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah bersemayam di atas singgahsana.

Setelah pembawa alat kebesaran mengambil tempat sekali lagi Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera menghadap KDYMM Tuanku Sultan memohon limpah perkenan memulakan istiadat dengan perarakan masuk Al-Quran, Titah KDYMM Tuanku Sultan, Warkah Pemasyhuran Perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan ke Balai Penghadapan.

Kemudian KDYMM Tunaku Sultran berkenan bertitah permasyhuran perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah dan menandatanagi surat sumpah disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Dato’ Azman Hussain dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Yang Ariff Dato’ Yahaya Jusuh yang turut menandatangani surat sumpah itu.

Kemudian KDYMM Tuanku Sultan berkenan semua Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman mengambil tempat di Astaka Singgahsana. Selepas itu tembakan meriam sembilan das dilepaskan.

Istiadat disudahi dengan bacaan doa oleh Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Badaruddin Haji Ahmad.

Turut hadir ialah Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan To’ Puan Faikah Syeikh Hamzah, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan ketua-ketua jabatan. Turut hadir ialah bekas Menteri Besar Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain dan YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid.