23 September 2009

Billboard dan Banner Imaginasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Sendiri




Dinsman telah menulis….

” Ramadhan juga adalah bulan al-Quran, kerana al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dalam bulan Ramadhan. Mengambil sempena itu Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan TG Nik Aziz mengeluarkan kain-kain banner yang menunjukkan orang membaca Quran, dan memasangnya di merata-rata tempat yang strategik. Tujuannya sebagai kempen supaya orang membaca Quran dengan lebih rajin di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, kata Tok Guru, “kita tengok pun senang rasa hati.”

Tetapi hatinya yang senang itu pula mengusik mindanya menjadi kritis dan kreatif. Maka dilihatnya dalam imaginasinya ada gambaran lain yang lebih wajar, bagi menampilkan mesejnya. “Tolong buat banner lain,” kata Tok Guru yang kreatif ini, “orang baca Quran itu, kalau boleh, ada anak atas ribanya. Menandakan kita di Kelantan mendidik generasi Quran. Aku baca Quran, anak aku dengar. Walaupun anak baru berumur sebulan atau setahun, tapi Islam menetapkan apabila anak dilahirkan, kita diminta azan di telinganya, biar nama Allah dan Nabi Muhammad dalam azan itu masuk ke dalam telinga anak kita. Dia fahamkah tak fahamkah, tak mengapa, kita hanya turut Nabi Muhammad saw.”

Sangat menarik! Rupa-rupanya sampai kepada rekabentuk banner pun turut difikirkan oleh pemimpin ini. Lihatlah gambaran terperinci yang diberikannya: “Waktu dia baca Quran dan anak di atas riba itu, isterinya juga ada dalam gambar, membawa anak-anak pergi ke masjid. Dan anak-anak itu, waktu pergi ke masjid, dipimpin oleh emaknya, dia melompat dan menjerit suka tengok orang ramai di masjid, dan di masjid pula nampak ramai orang sedang mengambil wudhuk dan sebagainya.” - Dinsman