Darul Abrar 03 Syawwal 1430
`Idul Fitri masih dirasai oleh kita semua dan seluruh umat Islam kerana ia merupakan anugerah Allah s.w.t. kepada hamba-Nya yang dapat menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan yang baru lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Malahan galakan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal ketika umat Islam masih bergembira menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukanlah bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu agar terus mengerjakan amal ibadah seperti berpuasa sunat, membaca al-Quran, bersedekah, menghadiri solat berjamaah di masjid / surau dan sebagainya. Oleh itu, amat malang dan rugi bagi kita yang telah berjaya mendidik nafsu sepanjang tarbiah Ramadhan sekiranya kita kembali semula menjadi hamba kepada kehendak dan dorongan nafsu tersebut.
Kerana itu, jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa menghidupkan suasana Syawal dengan perkara yang dikira ibadat di sisi Allah s.w.t dan bukannya dengan mencemari kesucian Syawal melalui amalan yang bercanggah dengan syarak. Bersesuaian hari raya sebagai hari kemenangan dalam mengekang nafsu sepanjang Ramadhan, maka janganlah kita kotorkan kembali diri kita dengan melakukan maksiat sehingga kita kembali menjadi kalah kepada hasutan nafsu dan syaitan. Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan dalam melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa, bukannya sebagai manusia yang durhaka terhadap Allah s.w.t. Oleh itu, kita mesti teruskan segala proses tarbiah yang dilalui dan diterima sepanjang Ramadhan yang lalu pada bulan-bulan seterusnya. Begitu juga dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya janganlah kita lupa untuk merebut tawaran Allah s.w.t untuk sama-sama menunaikan ibadat puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dimana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun dalam sabdanya yang berbunyi :
عَنْ اَبِىْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَ، عَنِ النَبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَتْ كَصِيَامِ الدَّهْرِ كُلِّهِ.
Maksudnya : “Daripada Abi Hurairah r.a., Dari Nabi s.a.w. katanya : Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian di ikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun ". (H.R. Muslim)