10 Februari 2010

KELANTAN KEDAH MERTABATKAN SENI BUDAYA SERUMPUN

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

KOTA BHARU - Atas agenda bersama untuk memartabatkan seni budaya serumpun sebagai khazanah warisan yang dipusakai, Kedah dan Kelantan telah menjalin hubungan antara Majlis Kebudayaan kedua-dua negeri tersebut.

Hubungan tersebut dirakamkan melalui kunjungan rasmi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah diketuai Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib selaku Yang DiPertuanya bertemu Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan yang juga dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato’ Takiyuddin Hassan, di sini pada 1 dan 2 Februari lalu.

Menurut Dr Hamdan, Kelantan menjadi pilihan dari anggotanya kerana tertarik kepada pengalaman dan kejayaan seni budaya yang berkembang subur di negeri itu.

Sementara YB. Dato’ Takiyuddin pula mengalu-alukan hubungan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘perkongsian pintar’ memandangkan kedua negeri tersebut mempunyai perkaitan rapat dari aspek sejarah seni budaya yang banyak dipengaruhi pemerintahan Kerajaan Siam.


Dalam ucapannya, beliau berkongsi pengalaman Kelantan ketika berlakunya pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 1990 dimana timbul perasaan was-was di kalangan budayawan dan seniman yang bimbang seni budaya akan terkubur berikutan kerajaan negeri ketika itu meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran.

Bagaimanapun ujarnya, selepas 20 tahun mentadbir, terbukti kerajaan negeri yang diterajui dengan tema “Membangun Bersama Islam” tidak pernah menyekat atau memberi ancaman kepada aspek seni budaya.

“Sebaliknya dipelihara dan dijaga malahan dipupuk supaya ianya tidak pupus dimakan zaman. Kerana itu di Kelantan ada satu pegangan dalam aspek budaya yang berbunyi ‘Adat dibedung, budaya disanjung, syariat dijunjung’,” ujarnya menghuraikan ringkas pepatah tersebut.

Menurut beliau, bukan sahaja dikekalkan keasliannya, tetapi aspek kesenian dan kebudayaan juga telah diselaraskan sesuai dengan kehendak syariat dan akidah.

Hasilnya maklum YB. Dato’ Takiyuddin, selepas lapan tahun mentadbir, kerajaan negeri berjaya memperkenal Dasar Kebudayaan yang digariskan dengan penglibatan bersama tokoh-tokoh budaya, agama dan sejarah.

Pun begitu, katanya, kerajaan terpaksa menghentikan sementara beberapa jenis acara kebudayaan seperti Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Main Puteri atas nasihat tokoh agama kerana terdapat aspek-aspek tertentu dalam persembahannya yang dianggap bercanggah dengan akidah dan syariat.

Bagaimanapun selepas dibuat kajian dan diadakan pengubahsuaian melalui perbincangan dengan tokoh-tokoh berkenaan, hanya wayang kulit dibenarkan semula di mana tiada lagi jampi mentera dan pemujaan selain jalan cerita juga ditukar kepada kehidupan realiti.

Tegas beliau, kerajaan negeri akan tetap mempertahankan seni budaya sebagai satu amanah warisan dan hanya membuang perkara yang bercanggah sebelum ia dipersembahkan ke khalayak ramai.

Dalam mengawal segala aspek tersebut, kerajaan negeri ujarnya mewujudkan enakmen berkaitan yang turut mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Semua anggota Majlis Kebudayaan Negeri Kedah yang mendengar taklimat daripada YB. Dato’ Takiyuddin nyata kagum dengan perkembangan tersebut khususnya berhubung dasar-dasar yang digariskan Kerajaan Negeri Kelantan.

Selain itu, anggota yang hadir turut menyuarakan cadangan untuk YB. Dr Hamdan mengemukakan ‘Dasar Pandang Ke Pantai Timur’ dan membawa pulang segala keunikan seni budaya di Kelantan ke Kedah.

“Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu pesan, kalau kita buat perkara baik dan orang tiru kita, kita akan dapat pahala. Jadi ambillah (dasar-dasar tersebut).

“Kelantan telah kemukakan dan terpulang untuk mana-mana pihak yang hanya perlu ambil laksanakan dan aplikasikan,” ujar YB. Dato’ Takiyuddin mengulas minat anggota rombongan terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri Kelantan ketika menyampaikan taklimat di Pusat Penerangan Pelancongan, di sini 2 Februari lalu.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa banyak perubahan dan pendekatan yang dirintis Kelantan telah diambil pakai kerajaan-kerajaan negeri lain di negara ini.

Terdahulu, rombongan telah diraikan dalam majlis makan malam dan persembahan kebudayaan di Kompleks Gelanggang Seni, di sini 1 Februari lalu.

29 Januari 2010

KEDAH KINI DAN PEMBAHARUAN UTK RAKYAT

i. Kemasukan Pelaburan yang diluluskan di Kedah pada 2009 berjumlah RM837,345,329.00. Menduduki senarai kelima negeri tertinggi menerima pelaburan selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Perhatikan senarai 5 negeri ini, 3 daripadanya adalah negeri di bawah PR.
.
ii. Kadar kemiskinan menurun daripada 7% pada 2004 kepada 3%. Kadar kemiskinan tegar telah berkurang daripada 1.3% pada 2004 kepada 0.3%.
.
iii. Pendapatan purata kasar bulanan isirumah meningkat daripada RM2,126 pada 2004 kepada RM2,408.
.
iv. Kadar pertumbuhan ekonomi Kedah hampir sama dengan Kerajaan Persekutuan. Pada 2008, KDNK Kedah mencatat sebanyak 4.6% manakala KDNK Malayasia ialah 4.8%.

i. Kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM19 juta kerana usaha penguatkuasaan yang rapi oleh pejabat-pejabat tanah.
.
ii. Kenaikan hasil balak daripada RM8 juta setahun sebelum ini (sebelum 2008) kepada RM35 juta pada 2009 hasil polisi tender terbuka Kerajaan Negeri.
.
iii. Sumbangan daripada 11 GLC kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM30 juta. Inilah bayaran pertama kali diterima oleh Kerajaan daripada GLC selepas usaha-usaha penyusunan semula GLC oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

YB Chegu YA bersama rakyat

27 Januari 2010

Tunku Annuar dimasyhurkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah


Oleh: AMELIA HASHIM

ANAK BUKIT, 25 Janurari: Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Bendahara Kedah Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Yang DiPertua Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman mulai 26 Januari 2010 bersamaan 10 Safar 1431.

Turut sama dimayshurkan ialah YTM Tunku Temenggung sebagai Tunku Bendahara, YTM Tunku Laksamana sebagai Tunku Temenggung dan YTM Tungku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Tunku Laksamana.

Pemasyhuran ini diadakan kerana KDYMM Tuanku Sultan Kedah akan dilantik sebagai pemangku Yang Dipertuan Agung selama 15 hari mulai esok.

Istiadar Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman berlangsung dengan penuh istiadat di hadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah ke Balai Penghadapan dengan diiringi pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar Pedang dan Lembing. Ikut sama Juru iring tentera dan polis dengan didahului oleh Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera Dato’ Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Payung-payung istiadat dkembangkan dan nobat dipalu mengiringi KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah bersemayam di atas singgahsana.

Setelah pembawa alat kebesaran mengambil tempat sekali lagi Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera menghadap KDYMM Tuanku Sultan memohon limpah perkenan memulakan istiadat dengan perarakan masuk Al-Quran, Titah KDYMM Tuanku Sultan, Warkah Pemasyhuran Perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan ke Balai Penghadapan.

Kemudian KDYMM Tunaku Sultran berkenan bertitah permasyhuran perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah dan menandatanagi surat sumpah disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Dato’ Azman Hussain dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Yang Ariff Dato’ Yahaya Jusuh yang turut menandatangani surat sumpah itu.

Kemudian KDYMM Tuanku Sultan berkenan semua Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman mengambil tempat di Astaka Singgahsana. Selepas itu tembakan meriam sembilan das dilepaskan.

Istiadat disudahi dengan bacaan doa oleh Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Badaruddin Haji Ahmad.

Turut hadir ialah Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan To’ Puan Faikah Syeikh Hamzah, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan ketua-ketua jabatan. Turut hadir ialah bekas Menteri Besar Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain dan YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

12 Januari 2010

MKK perlu jayakan matlamat jadikan Kedah ‘Belanda Timur’


Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI - Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian Dan Industri Asas Tani, Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Ir Amiruddin Hamzah menyeru semua anggota Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) agar turut berperanan dalam usaha ke arah merakyatkan projek-projek pertanian di negeri ini kepada masyarakat.

Katanya, hasrat kerajaan negeri untuk muncul sebagai negeri pertanian utama atau ‘Belanda Timur’, memerlukan MKK lebih bermaklumat bagi merancang program ekonomi berasaskan pertanian kepada masyarakat kampung atau komuniti masing-masing.

Ujarnya, program ekonomi berasaskan pertanian tidak semestinya melibatkan kerja-kerja penanaman atau penternakan, tetapi boleh dijayakan juga dengan kerja mengurus dan memproses kedua sumber tersebut.

Disebalik fokus tersebut, tegas beliau, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan sama sekali kemajuan industri, kemodenan pembangunan dan perkembangan perkhidmatan sedia ada mahupun yang akan dimajukan, tetapi mahu lebih memberi penekanan di bidang pertanian memandangkan keperluan dan permintaan kepada makanan makin bertambah saban hari.

Menurut beliau, tambah nilai kepada hasil pertanian perlu diadakan dalam usaha mengurus dan memproses sumber yang ada.

Maka peluang tersebut, jelas YB. Dato’ Ir Amiruddin, perlu dikembangkan setiap MKK kepada masyarakat di bawahnya, memandangkan MKK berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan jabatan-jabatan kerajaan lain.

“Paling tidak, kita harapkan program ini untuk (tujuan) sara diri. Dari terpa (berkejar) ke pasar setiap hari, kurang-kurang laman rumah kita boleh kita manfaatkan untuk kegunaan sendiri,” ujar beliau menyuntik galakan dalam ucapan perasmian penutupnya pada Majlis Taklimat Kepada MKK di Institut Pengurusan Peladang, di sini.

Bagi merakyatkan projek pertanian dan membantu golongan petani kecil sekaligus mencapai hasrat menjadi ‘Belanda Timur’, kerajaan negeri katanya, mengambil tanggung jawab untuk memastikan kelancaran urusan pemasaran produk pertanian dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan dalam Daerah Kuala Muda.

Beliau turut menjelaskan mengenai galakan kerajaan negeri untuk rakyat memperkembang dan mempelbagaikan produk pertanian dengan menceburi industri hiliran.

Melanjutkan ucapan, beliau memaklumkan mengenai pembiayaan khas kerajaan negeri kepada rakyat negeri ini yang berminat menceburi penternakan ikan keli dan ikan talapia untuk dikomersilkan.

“Untuk (ikan) keli kita sedang siapkan ‘nukleus farm’ yang akan dikendalikan Perbadanan Menteri Besar Kedah dan diternak di dalam kanvas. Keli ni kunci kejayaannya ialah pasaran, benih dan pemakanan keli.

“Jadi pengalaman kejayaan yang telah kita tengok terletak pada benihnya, jadi kita akan bekalkan benihnya. Bila berjayanya program ni, kita nak merakyatkan projek ini di mana rakyat akan terlibat dan syarikat akan beli dari kita secara ‘contract farming’,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, YB. Dato’ Ir Amiruddin sekali lagi mempertegaskan peranan MKK dalam membantu usaha pengembangan pertanian dengan mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program atau kursus berkaitan pertanian melalui saluran dan hubungan dua hala bersama agensi berkaitan.