30 November 2010

Pusat Hakis Hak Negeri, Dasar Tidak Pro Rakyat.

SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat.

Di samping itu, berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri dan mereka mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam ini.

Pada persidangan yang diadakan di sini sejak pagi tadi, selain Khalid, Menteri Besar Kelantan dan Kedah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pandangan masing-masing.

Namun demikian, mereka percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka mereka bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru, siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Berikut ialah resolusi penuh persidangan tersebut.

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;

Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;

Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;

Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan

Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;

Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);

Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;

Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan

Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;

Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;

Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;

Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;

Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;

Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;

Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.

Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;

Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri; dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan.

22 November 2010

Akta Siber, Supaya Rakyat Pekak Dan Buta Maklumat.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri yang akan memperkenalkan garis panduan bagi menerangkan definisi kesalahan hasutan secara terperinci satu lagi usaha untuk membuta dan memekakkan rakyat untuk mendapat maklumat sebenar di negara ini. PAS berpandangan tindakan ini lebih kepada usaha untuk membendung maklumat penyelewengan kerajaan BN dapat diketahui oleh rakyat di negara ini.

Seperti yang kita sedia maklum Umno BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini. Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini, walaupun mereka mengupah individu untuk melemparkan fitnah kepada PAS dan Pakataan Rakyat. Pertarungan dan perbahasan di media baru berakhir dengan individu yang makan upah Umno BN lari lintang pukang kerana tidak tahan dengan asakan yang dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat

Seluruh jentera Umno sudah tidak bermaya, ia hanya bergantung kepada media radio dan televisyen sahaja. Malahan setengah tempat Umno terpaksa swastakan program penerangan melalui NGO yang pro Umno supaya menganjurkan program, jika tidak orang tidak mahu datang jika atas lambang Umno. Sebab itu tidak hairan kepada kita BN sudah membuka peluang kepada NGO untuk bersama BN seperti yang diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi BN.

PAS berpendapat tidak cukup lagi kah Umno mengongkong rakyat dengan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan. Kerajaan boleh bertindak ,mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan. Adakah salah rakyat pada hari ini mendapat maklumat yang benar supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat untuk melantik pemegang amanah khazanah di negara ini. Jika maklumat yang didedahkan ini seperti maklumat ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa maka kerajaan boleh bertindak. Tetapi jika maklumat yang didedahkan ialah penyelewengan yang merugikan negara dan rakyat, kenapa perlu kerajaan takut untuk menghadapi penghakiman yang akan dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

10 November 2010

Sampaikan Maklumat Yang Betul ~ Adun Jeneri

Jeneri, 7 Nov 2010 - "Sampaikan maklumat yang betul kepada rakyat", kata YB Cikgu Ya kepada MKK Mukim Jeneri dalam majlis penyampaian kifalah dan sumbangan fakir miskin.

07 November 2010

SUKARELAWAN PEMUDA PAS KAWASAN SIK membantu mangsa banjir.



5 Nov - Pemuda PAS Kawasan Sik telah menghantar seramai 16 orang sukarelawan membantu mangsa banjir di Jitra Kedah, banjir yang melibat sebahagian penduduk di utara Kedah menghadapi kerosakan harta benda yang amat teruk, banyak pihak yang turun menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.
Kata Mohd Riduan Md Zain yang juga ketua misi sukarelawan bantuan banjir, pihak kami sentiasa akan membantu mangsa yang menghadapi kesukaran untuk mencuci rumah dan kami juga menghulurkan bantuan kepada mangsa ketika dihubungi editor malam tadi.

31 Oktober 2010

SIDANG BAJET KEDAH 14 - 16 NOV 2010.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dijadualkan pada 14 - 16 November nanti, dan Bajet 2011 akan dibentangkan oleh YAB MB pada tarikh 15 Nov. Siapa yang ingin hadir sebagai pemerhati, bolehlah datang pada tarikh tersebut. Pakaian baju kebangsaan atau long suit.
.
Tadi ada kawan sms bagitau, ada mamat mana tak tau buat blog menghina MB...dari kandungan blog itu, ia mungkin dari group yang buat demo 7 orang depan wisma 10hb dulu. Mamat tu tulis di blog dia kata MB dok binding dah bajet yang nak bentang tu tanpa bincang dengan exco dan pegawai! Hah! Lawaknya blog tu. Tu la...kalau tak tau apa-apa jangan reka cerita. Kan dah jadi fitnah tu... dah tak dak barang lain dah ka nak tulis. Bajet bukan semudah tu nak buat.. suka-suka nak bentang...siap dok binding dah pulak tu.
.
Bajet ni mai dari jabatan-jabatan dan agensi negeri. Berapa depa kutip hasil, berapa depa perlukan peruntukan, apa depa nak buat tahun depan, berapa belanja...semua tu dibuat oleh pegawai-pegawai di bawah Pegawai Kewangan Negeri. Lepas bincang, dihalusi, oleh jabatan-jabatan yang bertanggungjawab, baru boleh dibentang. Ia mengambil kira unjuran pencapaian hasil dan sejarah kewangan negeri...bukan boleh main hentam buat sendiri... gila ka apa mamat tu.
.
Nak buat ringkasan untuk ucapan pembentangan dalam DUN pun bukan sorang dua...lima enam orang pakar, tiga empat kali mesyuarat. Sekali mesyuarat berjam-jam, kebaih punggung! Dah dua kali saya terbabit dalam urusan itu. MB tengok satu-satu, teliti dengan detail sedetailnya.
.
Saya berdoa semoga mamat yang tulis hal tu di blog dia belum masuk tanjung rambutan lagi..biaq dia sempat tengok Bajet 2011 dibentangkan pada 15hb nanti!

: petikan dari blog setpol.

06 Oktober 2010

PRK Galas 4 Nov.

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 4 November sebagai hari mengundi manakala 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai PRK Dun Galas di sini, pagi ini.


10 Ogos 2010

Perutusan Menyambut Ramadhan 1431.


بسم الله الرحمن الرحيم و الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين و بعد

Muslimin muslimat sekelian!

Setiap kali datang bulan Ramadhan , umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan berpuasa. Allah memuliakan bulan Ramadhan kerana ia adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran.

Firman Allah s.w.t :-

al-Baqarah 183

Yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah:183)

Malah malaikat Jibril a.s akan turun bertadarus al-Quran bersama Rasulullah s.a.w sepanjang bulan Ramadhan.

Daripada Ibnu Abbas r.a.: “Jibril a.s. berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. setiap malam pada bulan Ramadhan dan bertadarus al-Quran bersama Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Muslimin muslimat sekelian!

Al-Quran adalah petunjuk yang menjadi panduan hidup kita. Ia memperkenalkan kita dengan Tuhan kita, hakikat kehidupan dunia akhirat, memimpin kita ketika dalam keadaan kebingungan, aturcara dalam setiap perincian hidup. Ia adalah al-Furqan yang membezakan antara yang hak dan yang batil.

Hari ini kita menyambut Ramadhan dengan penuh kemeriahan, tetapi kita meninggalkan al-Quran di belakang kita.

al-Furqan 30

Maksudnya:

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. (Al-Furqan: 30)

Cara hidup kita bercampur baur antara hak dan batil atau antara Islam dengan jahiliah.

Kehidupan liberal yang bolos dari sebarang ikatan iltizam akhlak, menyucikan hawa nafsu, berlegar sekitar manusia dan harta dan mengabaikan batasan halal dan haram.

Muslimin muslimat sekelian!

Sempena kita menyambut Ramadhan pada tahun ini, marilah kita berazam untuk kembali kepada kehidupan berlandaskan al-Quran, kehidupan iman, kehidupan roh yang berasaskan taqwa.

Mari kita daulatkan Islam dalam segenap sendi kehidupan kita. Percayalah bahawa segala anutan, ideologi dan ajaran selain dari Islam semuanya akan berakhir dan ada yang sudah berakhir.

Al-Quran tetap dijaga oleh Allah s.w.t.;

al-Hijr 9

Maksudnya:

Sesungguhnya Kami menurunkan peringatan dan Kamilah yang akan memelihara-Nya. (al-Hijr:9)

Puasa adalah satu ibadat wajib yang mesti ditunaikan dengan sepenuh keimanan.

2009-08-21-Aug-08n-1250838256

Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ia merupakan satu rukun dari rukun Islam yang lima.

Muslimin muslimat sekelian!

Allah menjanjikan ganjaran yang tidak terbayang bagi orang yang berpuasa dengan penuh keikhlasan.

Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw. Allah berfirman : “Seluruh amal anak Adam baginya selain puasa, sesung­guhnya puasa itu bagiKu dan Aku membalasnya. Sungguh bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari pada bau kasturi.” (Hadis riwayat Bukhari)

Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa puasa bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari (Allah), niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. “ (Bukhari dan Muslim)

Dan dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad hasan disebutkan: “Dan (dosanya) yang kemudian. “

Puasa ialah menahan diri dari lapar dahaga dan perkara-perkara yang yang membatalkan puasa.

Ulamak membahagikan puasa kepada beberapa kategori:

  1. Puasa awam – yakni sekadar lepas dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  2. Puasa khusus – iaitu disamping meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa mereka juga meninggal perkara keji dan maksiat
  3. Puasa khusus al khusus – iaitulah mengawal pemikiran dan lintasan kehingga semuanya mengingati Allah s.w.t

Muslimin muslimat sekelian!

Selain berpuasa, pada bulan Ramadhan ini Rasulullah s.a.w juga melakukan badah ibadah lain, antaranya;

  1. Tadarus al-Quran
  2. Solat qiam/ tarawih
  3. Memperbanyakkan sedekah
  4. Iktikaf 10 malam terakhir Ramadhan.
  5. Zikir dan bertaqarrub kepada Allah.

Akhirnya jangan lupa malam Lailatul qadar. Pastikan kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan malam yang mulia ini.

Firman Allah s.w.t

al-Qadr 3

Maksudnya:

“Malam qadar lebih baik dari seribu malam” (al-Qadr:3)

Sekian. Selamat menyambut Ramadhan.

و كل عام و أنتم بخير

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

06 Julai 2010

Sesi penerangan Skim Kafalah untuk elak ketidakadilan

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR - Bagi memastikan pengagihan sumbangan wang Kafalah sampai kepada sasarannya serta tiada penyelewengan, kerajaan negeri mengadakan sesi penerangan terperinci mengenai dasar dan pelaksanaan skim ini kepada ahli Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK).

Penerangan ini dilaksanakan di seluruh daerah yang disampaikan oleh Penegerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) dan Pejabat Kewangan Negeri.

Menurut YB Ustazah Ashah, Skim Kafalah merupakan wang rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan skim ini sampai kepada rakyat secara adil serta tiada penyelewengan.

“MKK merupakan ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam merealisasikan segala pembangunan yang melibatkan rakyat. MKK sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat, jadi kita harap kebijaksanaan MKK untuk menyelesaikan pembahagian skim ini serta kita pastikan siapa yang layak terima, jangan kita fikir tentang saudara, keluarga dan fahaman politik,” ujar beliau.

Skim Kafalah bertujuan membantu golongan miskin yang kurang bernasib baik serta mengurangkan beban kewangan mereka jika berlaku kematian. Ini juga sebagai menjamin hak keistimewaan seluruh rakyat Kedah.

“Skim Kafalah membantu orang miskin apabila berlaku kematian tanpa mengira agama, bangsa, fahaman politik, asalkan dia miskin, selagi menjadi rakyat Kedah, dia layak terima bantuan ini.

“Tidak ada sifat kekeluargaan, adik beradik, kronisme, kalau dia layak, kita kena bagi sumbangan ini, kalau tidak layak jangan kita khianati amanah kerajaan.

“Jangan ada penipuan, kita perlu beri pada yang layak, penyelewengan kewangan tak boleh berlaku, jika berlaku, pengurusan ini (Skim Kafalah) diberhentikan,” jelas beliau.

Pada Bajet 2010, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.6 juta untuk Skim Kafalah, sebanyak RM500 diberikan apabila berlaku kematian. Penerima sumbangan ini perlu berdaftar dengan e-Sinar, iaitu berpendapatan bulanan kurang RM720 seisi rumah atau RM180 perkapita.

14 Jun 2010

Utamakan golongan lemah, jangan terpedaya kehebatan luaran seseorang

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru kakitangan awam negeri ini supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat yang ‘lemah’ kerana mereka yang lebih layak dibantu dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan kehebatan luaran seseorang dalam membuat keputusan.

Beliau menegaskan bahawa, Islam juga menyatakan supaya manusia mengutamakan insan-insan yang lemah dalam menghulurkan bantuan.

“Sebagai pegawai kerajaan dan saya sebagai ketua kerajaan, dalam bertugas, niat dengan baik, maka Allah akan tolong dengan niat untuk tolong manusia. Kita perlu beri khidmat kepada rakyat sebaik mungkin, saya tak nak ada yang kena zalim.

“Sebagai kerajaan, kita didatangi oleh orang bawahan dan lemah dan susah, jadi kita perlu tolong mereka, ini kerana orang-orang ini lebih banyak memerlukan pertolongan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis perhimpunan bulanan warga Wisma Darul Aman di perkarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Sementara itu, mengenai isu lain, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak menyekat sebarang bentuk hiburan dalam negeri ini, tetapi ianya perlulah mempunyai landasan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Hiburan melampau mengundang kepada kerosakan akhlak berleluasa di kalangan belia. Isu pembuangan bayi yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini adalah contoh, akibat dari hiburan dan kebebasan melampau yang merosakkan masyarakat.

“Masalah sosial yang berlaku sekarang disebabkan oleh kebebasan berleluasa tanpa kawalan.

“Di Kedah, kita tak sekat hiburan, kita tak mau hiburan yang merosakkan masyarakat, terutama golongan belia,” ujar beliau.

‘Kasih Ibu Kasih Abadi’ tema sambutan Hari Ibu Negeri Kedah bagi Tahun 2010

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI – ‘Kasih Ibu Kasih Abadi’. Itulah tema bagi sambutan Hari Ibu Negeri Kedah bagi Tahun 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, tema pada tahun ini sangat tepat sebagai membuktikan bahawa kasih ibu tiada bandingannya dan tidak boleh dinilai dengan harta benda.

“Jasa dan pengorbanan ibu bukan sahaja diraikan pada Hari Ibu sahaja, malah ianya harus dilakukan setiap masa kerana kasih ibu-ibu berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Sebenarnya kita tak berdaya membalas jasa ibu, oleh itu kita digalakkan berdoa kepada ibu bapa selepas solat sama ada mereka masih hidup mahupun telah meninggal dunia,” ujar beliau pada sambutan Hari Ibu tahun 2010 di Hotel SP Inn, di sini.

Sambutan tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr Abd Isa Ismail, Mufti Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan ADUN-ADUN.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan dikejutkan dengan pemberian potret arwah bonda beliau serta tayangan video khas perjalanan kisah hidup bonda YAB Menteri Besar.

Para jemputan begitu terharu dengan persembahan teater yang menyentuh perasaan oleh Rentak Alor Production serta slot luahan perasaan anak-anak kepada ibu-ibu.

Selain itu majis dimuatkan dengan forum khas Hari Ibu ‘Kasih Ibu Kasih Abadi’ serta persembahan nasyid dan nyanyian oleh Azhan Atan serta artis Bintang Kecil.

22 Mei 2010

MARI MENGENALI TEMPAT MENARIK KEDAH


Air Terjun Puncak Janing, Kuala Nerang
Balai Besar
Balai Nobat
Bukit Kayu Hitam
Balai Seni Negeri
Batu Hampar Waterfall
Junjong Waterfall
Kota Kuala Kedah
Lata Mengkuang Waterfall
Lembah Bujang Archaeological Park
Lasor Eco Park
Masjid Zahir
Menara Alor Setar
Lye Huat Garden
Muzium Negeri
Muzium Padi(Jelapang Padi Malaysia)
Pusat Sains Negara Wilayah Utara
Pantai Merdeka
Pedu Lake
Kompleks Pekan Rabu, Alor Star
Perangin Sik Waterfall
Rumah Kelahiran Mahathir
Seri Perigi Waterfall
Sungai Merbok Recreation Park
Sungai Sedim Tree Top Walk
Ulu Muda Eco Park
Hutan Paya Laut
Ulu Legong Hot Springs
Titi Hayun Waterfall
Gunung Jerai

TUGAS PENGHULU MACAM WAKIL RAKYAT..


JITRA – Peranan penghulu adalah dilihat sama dengan wakil rakyat dalam melaksanakan pentadbiran pembangunan kerajaan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Md Zawawi menegaskan bahawa tindakan kerajaan negeri memperkasakan institusi penghulu supaya lebih berperanan dan dilihat penting dalam melaksanakan tugas kerajaan.

“Penghulu merupakan agen kerajaan di peringkat akar umbi, merupakan yang terakhir dalam sistem pentadbiran kerajaan yang rasmi, iaitu yang hampir dengan rakyat.

“Dalam perkhidmatan awam di Kedah sejak dahulu kagi, institusi penghulu merupakan institusi yang wujud lebih awal dalam menjalankan pentadbiran kerajaan, apabila kedatangan penjajah, mereka telah mengubah sistem pentadbiran.

“Namun, penghulu terus relevan dan penting dalam sistem pentadbiran kita, ini dapat dilihat di mana apabila rakyat hadapi masalah, mereka akan cari penghulu sebagai rujukan, jadi tugas penghulu hampir-hampir sama dengan peranan wakil rakyat,” katanya sewaktu berucap mewakili Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak merasmikan mesyuarat agung Persatuan Penghulu/Penggawa Negeri Kedah di Bustani Hotel, di sini.

Menurut beliau, jawatankuasa mukim yang dipengerusikan oleh penghulu dapat digerakkan bersama Majlis Ketua Kampung/Komuniti dalam memastikan rakyat mempunyai tempat untuk mengadu dalam mengatasi masalah yang mereka hadapi.

“Diharap penghulu dan ketua kampung atau komuniti dapat bekerjasama dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat, pemasalahan ini seterusnya dibawa ke peringkat daerah bagi tindakan susulan diambil,” ujar beliau.

Tambah beliau, penghulu perlu memahami perbezaan antara pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

08 Mei 2010

Apa kata Cgu Ya...


sudahlah UMNO...Jeneri PAS Punya..

ANGGUR MANIS DI SIK [DUN JENERI]

SIK: Bukan luar biasa apabila anggur berjaya ditanam di negeri berhawa panas seperti Malaysia dan tidak mustahil apabila suatu hari nanti Kedah akan muncul sebagai negeri pengeluar anggur terbesar di Malaysia.

Ladang anggur ini dimulakan pada tahun 2007 di atas kawasan seluas 1.6 Hektar ekar dengan 1000 pokok terletak di pinggir Tasik Beris di kelilingi kahijauan flora dan fauna yang belum tercemar keindahan alam semulajadinya telah

mengeluarkan hasil pada tahun 2008. Kemudian tanaman anggur inin dikembangkan seluas 12 hektar dengan 7000 pokok di Sungai Senam.



Kejayaan ladang di Kampung Ternas ini mendorong Excel Agrotech menambah tanaman jumlah pokok anggur di Sungai Senam. Malah anggur di sini lebih manis jika dibandingkan anggur yang dieksport dari luar negera.

Menurut pengusaha ladang tersebut, Amiruddin Malik, sebelum memulakan perusahaan ladang ini beliau terlebih dahulu mengkaji dan belajar teknik tanaman seperti kesesuian tanah, pemilihan benih, penjagaan dan sebagainya daripada ladang anggur terdekat iaitu di Perlis dan Thailand.
“Selama ini kita menganggap anggur hanya sesuai ditanam di negara yang mempunyai empat musim. Sekarang dengan kemajuan teknologi pertanian anggur boleh ditanam di negeri dua musim seperti Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, pokok anggur hidup dengan kitaran mengikut musim iaitu akan luruh daunnya pada musim gugur.

“Jadi anggur yang ditanam di sini akan dibantu dengan tenaga manusia untuk membuang semua daun-daun pada musim gugur. Kemudian pokok-pokok ini akan kembali bertunas dan berbunga kemudian berbuah,” terangnya.

Anggur boleh ditanam menerusi biji benih, keratan ranting, tunas dan anak-anak hasil tisu kultur yang akan mencapai peringkat matang antara 10 hingga 12 bulan. Jenis anggur yang ditanam di sini terdiri daripada Black Opal, Black Grape, Wite Malaga dan Lose Plite.
Oleh kerana ladang ini menjadi tumpuan pelajar istitut pngajian tnggi, pelajar sekolah menengah dan pihak swasta beliau akan akan menwujudkan satu pusat penyelidikan dan pembelajaran (R&D) di sini.

Amiruddin memberitahu ladang aggur ini dimulakan dengan modal sebanyak RM500 ribu meliputi kos membina bangunan, struktur bumbung, sistem pengairan dan benih. Bagaimanapun, katanya, kos ini tidak termasuk lain-lain keperluan yang dibeli secara tunai. Kini Excel Agrotech menggunakan 15 pekerja anak tempatan untuk dua buah ladang.
Beris Grapes Café bangunan yang disediakan untuk pelancong di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan suasana ladang dan tasik kerana hampir 90 peratus berdinding kaca.
Terdapat galeri jualan yang menjual anggur segar, jus, kordial dan produk berasaskan anggur seperti sabun, losyen badan dan mandian.
Galeri jualan dibuka untuk orang ramai setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Sesiapa yang berminat untuk membeli atau untuk melawat ladang ini boleh menghubungi talian 04-4620466 atau faks 04-4620611.

04 April 2010

Kedah dan Ayaq-pistol Ayaq

Sebelum ini di RTM, kini melalui TV3 pula. Aduan Rakyat TV3 kelmarin memang ada agenda yang sama seperti arahan bos UMNO Kedah dalam mesyuarat baru-baru ni. Manipulasi isu air semaksima mungkin untuk menanam kepercayaan bahawa, Kerajaan PR Kedah telah gagal sepenuhnya. Maka RTM dan TV3 yang melenting kalau dikatakan ‘pelacur’ pun sekonyong-konyong menyondol tanpa usul periksa lagi. Kedah dikatakan mengalami krisis air! Kedahlah negeri paling tenat dalam isu bekalan air di kalangan negeri-negeri di benua Asia, malah seluruh dunia. Apakah memang berlaku krisis air di Kedah?

Ada tiga tahap dalam isu air sebelum ia dikatakan sebuah KRISIS.

Pertama seluruh infrastruktur asas bekalan dan sumber air di rumah pam, loji penapisan dan tangki simpanan dipacu pada tahap maksimum, termasuk pengangkutan lori tangki pihak berkuasa air dikerahkan. Ini rutin biasa operator air di seluruh Negara.

Kedua, lori-lori tangki swasta terpaksa disewa untuk menampung penghantaran bekalan air mentah ke kawasan terputus sumber air sehingga menyukar kehidupan harian. Bekalan ke kawasan-kawasan normal terpaksa dicatu dan dihadkan. Catuan air belum berlaku di negeri ini seperti berlaku di Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor!

Ketiga, Rejimen 60 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diwujudkan khusus menangani isu keselamatan sumber dan bekalan air di negara ini terpaksa dikerahkan untuk campurtangan dalam isu ini. Sumber dan bekalan Air adalah item penting dalam isu keselamatan Negara. Beribu-ribu soldadu berceloreng basah dengan segala kelengkapan membekal air akan bertaburan di seluruh Kedah! Hal ini tak pernah terjadi dalam dua tahun ini!

Selepas tiga tahap ini, maka negara atau negeri wajar diistiharkan mengalami krisis air. Kedah berada di tahap mana? Kedah berada pada tahap pertama!

Kampung Keda Sungai Senam dan Kampung Kenangan di Sik, yang disiarkan dalam Aduan Rakyat TV3 kelmarin memang menghadapi masalah air sejak diwujudkan lebih dua puluh tahun dulu. Sejak saya mula terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak tahun 1995, dua penempatan itu memang sudah mengalami masalah bekalan air. Kampong Keda Sg Senam yang diwujudkan atas bukit tinggi melibatkan agensi keda dan Felcra, dengan strategi dan kepentingan politik kerajaan masa itu. Ada 400 pengundi (DUN Belantek) di Kg Keda Sg Senam yang menjadi ‘simpanan tetap’ BN, dan BN tak pernah tewas di UPU Kampung Chong, tempat mereka mengundi.

Pada PRU 2008, sebahagian besar daripada 400 orang ini tidak keluar mengundi kerana memprotes BN yang gagal selesaikan masalah air sejak mereka dipilih menyertai penempatan ini. PAS dibenarkan masuk berkempen dan menziarahi penduduk buat kali pertama pada tahun itu. Hanya 4 buah rumah sahaja yang berani mengaku akan menyokong PAS. Ada seorang pemuda yang celik politik membuka laluan, dan dia dipulaukan hingga sekarang.

PAS menang buat kali pertama sejak pilihanraya diadakan di UPU itu, kerana mereka tidak keluar mengundi. Tetapi kerana ada undi pos tentera di Kem Gubir seramai 1,031 yang dimasukkan di saat pembubaran DUN, BN menang juga di Belantek dengan majority 252 undi.

Apabila kerajaan bertukar tangan, maka cepat-cepat masalah itu dilonggokkan atas kepala kerajaan dengan segala kempen melalui surat khabar dan TV. Adun BN yang menang dengan undi pos tentera itupun menganjurkan demontrasi di kampong itu, seolah-olah air kering bila PR memerintah negeri.

Sejak puluhan tahun, lori tangki menghantar air ke kampong ini, tong drum tepi jalan pun dah banyak yang diulangsalin kerana lama berkhidmat menadah air. Paip utama rosak sepenuhnya sewaktu pembinaan empangan Beris oleh JPS dan usaha mengganti sedang dibuat. Jangan tergamam bila ada air memancut dari pili sedikit masa lagi.

Kampung Kenangan di Kampung Betong juga ‘simpanan tetap’ BN bagi DUN Jeneri. Tidak pernah sekalipun sejak ia wujud, PAS boleh masuk berceramah dan beramah mesra dengan penghuninya. Yang boleh dibuat ialah ceramah di kampung sebelah dan halakan pembesar suara ke sana, moga-moga ada yang mendengar. Selama itulah paip air menjadi hiasan di kampong itu. Alhamdulillah, malam tadi air mula sampai dari jam 2 pagi hingga 7 pagi – kali pertama sejak ia diwujudkan. Yang memang tak pernah menutup kepala paip, ia melimpah ke jalan raya.


Banyak lagi kisah ‘politik pistol air’ di lokasi Aduan Rakyat tempoh hari. Wakil SADA yang diinterbiu dalam rancangan itu banyak menceritakannya kerana sudah 36 tahun dalam industri itu, tetapi tidak disiarkan kerana akan memakan tuan lamanya.

Satu hal yang jelas ialah tiada isu yang lebih besar dan parah di Kedah selain isu air. Maka ia digomol semahunya oleh puak yang gila talak, baik muda atau tua. Johor, Neg 9, Melaka dan Sabah yang parah dengan isu air seperti dilupakan. Jangan sampai pistol air menjadi meriam air (water canon) di negeri-negeri itu, kerana saya sudah merasai kepedihannya dalam demontrasi bersih dan isu bahasa satu masa dulu.
Posted by MUHAMMAD SANUSI MD NOR

28 Mac 2010

SULTAN KEDAH BERTITAH


PILIH PEMIMPIN YANG TIDAK DICUCUK HIDUNG OLEH PIHAK LUAR

SINTOK: Baginda Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihati semua pihak supaya berhati-hati dalam memilih pemimpin.

Baginda bertitah, pemimpin yang ditaja oleh dana atau kuasa luar boleh mendedahkan negara kepada penjajahan.

"Jika mahu menjadi atau memilih pemimpin negara, lebih baik tidak dicucuk hidung oleh kuasa lain kerana kemungkinan individu berkenaan mempunyai kepentingan kuasa luar terhadap diri sendiri.

"Lebih baik negara mempunyai pilihan membuat polisi sendiri berbanding dengan polisi yang dipaksa oleh negara atau kuasa lain," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Baginda mengingatkan bahawa banyak negara telah menjadi boneka yang digerakkan oleh kuasa lain dan ia berlaku apabila pemimpinnya telah berjaya dibeli atau diperas ugut oleh kuasa berkenaan. "Pemimpin berkenaan cenderung membuat polisi yang dikehendaki oleh tuannya dan polisi yang dibuat tidak akan melihat kehendak rakyat. Rata-rata dalam kalangan kita mahukan kebebasan, tidak mahu dikongkong dan berupaya membuat keputusan sendiri," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah semakin banyak pilihan yang ada, semakin tinggi kebebasan seseorang dan semakin luas ruang kebebasan itu, semakin gembira hidup mereka.

"Seorang pemimpin yang baik membebaskan rakyat dan meletakkan rakyat dengan pelbagai peluang kerana melalui banyaknya pilihan, kita menjadi lebih fleksibel," titah baginda.

Baginda memberi contoh mengenai jasa yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia kedua) yang telah berjaya menyediakan peluang pendidikan secara lebih menyeluruh melalui Dasar Ekonomi Baru.

Baginda yang juga Canselor UUM bertitah bahawa baginda membangkitkan perkara-perkara tersebut supaya para graduan turut dapat menyediakan diri untuk terus menikmati kebebasan diri untuk memilih dan bukannya memilih kerana dipaksa memilih. - BERNAMA

Tanggungjawab Kerajaan Pakatan Rakyat



BALING – Kerajaan negeri Kedah sentiasa berusaha menyediakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah kepada rakyatnya agar akhlak serta akidah mereka tidak terpesong dari landasan agama.

Solat tiang agama, jika tiang itu tidak didirikan tentulah runtuh agama seseorang. Solat telah difardukan ke atas setiap muslim sebagai tanda kepatuhan penuh ikhlas kepada Allah S.W.T.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka mendirikan solat yang berhubungkait dengan penularan gejala sosial yang melanda belia.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, rakyat yang beragama serta mengenal Tuhannya, maka sudah tentu mereka akan mengenali ibu bapa, jiran seterusnya mengukuhkan hubungan sesama insan.

“Dalam rukun Islam, pertama mengucap kalimah syahadah, kemudian solat yang wajib kepada semua umat Islam, sama ada dalam keadaan sihat dan sakit sekalipun. Sembahyang itu akan cegah manusia daripada melakukan perbuatan yang ditegah dalam agama.” jelas beliau pada Majlis Perasmian Penutupan Kem Anak Soleh yang diadakan di Maktab Mahmud Baling.

Tambah beliau, menerusi kem ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri memastikan akhlak dan moral umat Islam akan terus digilap serta dipelihara dengan baik.

Selain itu, kem ini juga dapat mendidik anak-anak yang masih diperingkat sekolah rendah celik solat hingga mereka mampu mendidrikan solat sendirian.

“Masalahnya dalam kita sibuk dalam mengejar kehidupan dunia, tetapi kita lupa terlupa untuk menyediakan didikan agama yang septutnya. Maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam dua perkara membekalkan didikan agama kepada anak-anak yang dilahirkan suci tanpa sebarang dosa.

“Saya sebagai ketua kerajaan juga bertanggungjawab kepada rakyat, saya arahkan Exco-Exco saya laksanakan program yang manfaat kepada rakyat terutama dari segi agama. Baik kita habis duit untuk tujuan perkara-perkara yang baik kepada rakyat,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr Ismail Salleh, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Sohibus Saadah Dato’ Syeikh Uzir Haji Baharom, Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah, Mohd Zohdi Saad, ADUN Kuala Ketil, YB. Md Zuki Yusof, ADUN Kupang, YB. Johari Abdullah dan Pegawai Daerah Baling, Haji Ahmad Fisol Md Nor.

20 Februari 2010

CERAMAH PERDANA HJ. MOHAMAD SABU

CERAMAH PERDANA PAS KAWASAN SIK
TARIKH : 21.2.2010
HARI : AHAD MLM ISNIN
MASA : 9.30 MALAM
TEMPAT : KOMPLEKS PAS KAWASAN SIK, SG PAU
PENCERAMAH UTAMA : HJ MOHAMAD SABU (AJK PAS PUSAT)
YB Ir AMIRUDDIN HAMZAH (EXCO KERAJAAN KEDAH) DAN
YB HJ. YAHYA ABDULLAH (ADUN jeneri)



SEMUA RAKYAT SIK DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

16 Februari 2010

SKIM KAFALAH

BERSAMA CEO KEDAH AGRO





Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa mengamalkan polisi terbuka untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa sejajar dengan cogan kata “Kedah Sejahtera”.

Berucap merasmikan Karnival Tahun Baru Cina di Pekan Cina, Alor Setar, Menteri Besar Kedah berkata, Pekan Cina dan Pekan Melayu suatu masa dahulu merupakan tempat yang unik bagi masyarakat Alor Setar khususnya. Pekan Cina yang terletak sebelah-menyebelah dengan Pekan Melayu menjadi simbolik keharmonian kaum sejak dahulu lagi.

Menurutnya, Pekan Cina yang terletak di persisiran Tanjung Chali mempunyai potensi untuk dipertingkatkan menjadi satu tapak pelancongan yang menarik di Kedah, suasana yang meriah seperti malam Karnival ini patut dijadikan titik permulaan untuk mengembalikan kegemilangan Pekan Cina dan Pekan Melayu yang suram ketika ini.

“Segala aktiviti yang bercirikan kebudayaan, kesenian dan warisan akan dilangsungkan di kawasan ini demi mengimbau nostalgia serta membolehkan generasi muda terus menghayati sejarah Pekan Cina dan Pekan Melayu yang menjadi titik permulaan perkembangan Bandar Alor Setar,” katanya.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri Kedah akan berusaha untuk menghidupkan semula kawasan ini. Selain itu, kerajaan negeri akan menerima segala cadangan dan kerjasama untuk meningkatkan kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai serta pelancong.

Menurutnya, beliau mahu lihat rakyat yang berada di bawah pimpinannya hidup aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain kerana perkara ini adalah penting untuk semua rakyat mencapai nikmat yang dapat dimiliki hasil daripada semangat harmoni dan kerjasama yang ditunjukkan.

Selain itu juga, pihak kerajaan peka dengan kehendak masyarakat Cina melalui pelbagai saluran khususnya melalui Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang merupakan NGO terbesar yang mewakili kaum Cina di negeri ini.

“Sempena Karnival Tahun Baru Cina ini, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukkan wang dan memberi kerjasama kepada pihak Dewan Perhimpunan Cina Kedah untuk penganjuran acara-acara besar yang dapat memberi kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

10 Februari 2010

SKIM KIFALAH UNTUK RAKYAT KEDAH


Oleh : NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah membuktikan keprihatinanya dengan memperkenalkan Skim Kafalah bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik tanpa mengira agama, bangsa, umur dan fahaman politik. Ia menjamin hak keistimewaan rakyat negeri ini dengan sejajar dengan slogan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan wang sejumlah RM3.6 juta untuk melaksanakan program Skim Kafalah Kedah bagi tahun 2010. Program ini mensasarkan golongan miskin yang berpendapatan perkapita RM180 ke bawah atau pendapatan seluruh isi rumah RM720 ke bawah.

Menurutnya, keluarga miskin yang layak dan mengikuti garis panduan e-Sinar di mana penerima sumbangan adalah rakyat Kedah yang berdaftar di bawah program e-Sinar.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500 kepada waris secara tunai dan pemberiannya hanya sekali sahaja setiap satu kematian, ini adalah bagi mengelakkan tuntutan bertindih waris yang lain.

Jika sebelum ini kerajaan negeri memperkenalkan Skim Kifalah, namun kini namanya ditukar kepada Kafalah kerana bertepatan dengan sebutan Bahasa Arab.

Kata beliau, penukaran ini dilakukan bagi menepati sebutan asalnya kerana tidak mahu rakyat terkeliru namun matlamat asal skim ini tetap sama bagi membantu golongan berpendapatan rendah membiayai kos pengurusan jenazah.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian yang serius untuk meningkatkan skim-skim bantuan bagi membolehkan bantuan kepada golongan yang memerlukan disalurkan dengan lebih berdaya maju.

“Saya berharap agar semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu dengan lebih erat bagi meneruskan usaha meningkatkan ekonomi warga miskin agar mereka memperolehi manfaat kesejahteraan bersama,” katanya di Majlis Pelancaran Skim Kafalah Kedah di Dewan Sri Negeri Wisma Darul Aman.

KELANTAN KEDAH MERTABATKAN SENI BUDAYA SERUMPUN

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

KOTA BHARU - Atas agenda bersama untuk memartabatkan seni budaya serumpun sebagai khazanah warisan yang dipusakai, Kedah dan Kelantan telah menjalin hubungan antara Majlis Kebudayaan kedua-dua negeri tersebut.

Hubungan tersebut dirakamkan melalui kunjungan rasmi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah diketuai Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib selaku Yang DiPertuanya bertemu Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan yang juga dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato’ Takiyuddin Hassan, di sini pada 1 dan 2 Februari lalu.

Menurut Dr Hamdan, Kelantan menjadi pilihan dari anggotanya kerana tertarik kepada pengalaman dan kejayaan seni budaya yang berkembang subur di negeri itu.

Sementara YB. Dato’ Takiyuddin pula mengalu-alukan hubungan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘perkongsian pintar’ memandangkan kedua negeri tersebut mempunyai perkaitan rapat dari aspek sejarah seni budaya yang banyak dipengaruhi pemerintahan Kerajaan Siam.


Dalam ucapannya, beliau berkongsi pengalaman Kelantan ketika berlakunya pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 1990 dimana timbul perasaan was-was di kalangan budayawan dan seniman yang bimbang seni budaya akan terkubur berikutan kerajaan negeri ketika itu meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran.

Bagaimanapun ujarnya, selepas 20 tahun mentadbir, terbukti kerajaan negeri yang diterajui dengan tema “Membangun Bersama Islam” tidak pernah menyekat atau memberi ancaman kepada aspek seni budaya.

“Sebaliknya dipelihara dan dijaga malahan dipupuk supaya ianya tidak pupus dimakan zaman. Kerana itu di Kelantan ada satu pegangan dalam aspek budaya yang berbunyi ‘Adat dibedung, budaya disanjung, syariat dijunjung’,” ujarnya menghuraikan ringkas pepatah tersebut.

Menurut beliau, bukan sahaja dikekalkan keasliannya, tetapi aspek kesenian dan kebudayaan juga telah diselaraskan sesuai dengan kehendak syariat dan akidah.

Hasilnya maklum YB. Dato’ Takiyuddin, selepas lapan tahun mentadbir, kerajaan negeri berjaya memperkenal Dasar Kebudayaan yang digariskan dengan penglibatan bersama tokoh-tokoh budaya, agama dan sejarah.

Pun begitu, katanya, kerajaan terpaksa menghentikan sementara beberapa jenis acara kebudayaan seperti Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Main Puteri atas nasihat tokoh agama kerana terdapat aspek-aspek tertentu dalam persembahannya yang dianggap bercanggah dengan akidah dan syariat.

Bagaimanapun selepas dibuat kajian dan diadakan pengubahsuaian melalui perbincangan dengan tokoh-tokoh berkenaan, hanya wayang kulit dibenarkan semula di mana tiada lagi jampi mentera dan pemujaan selain jalan cerita juga ditukar kepada kehidupan realiti.

Tegas beliau, kerajaan negeri akan tetap mempertahankan seni budaya sebagai satu amanah warisan dan hanya membuang perkara yang bercanggah sebelum ia dipersembahkan ke khalayak ramai.

Dalam mengawal segala aspek tersebut, kerajaan negeri ujarnya mewujudkan enakmen berkaitan yang turut mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Semua anggota Majlis Kebudayaan Negeri Kedah yang mendengar taklimat daripada YB. Dato’ Takiyuddin nyata kagum dengan perkembangan tersebut khususnya berhubung dasar-dasar yang digariskan Kerajaan Negeri Kelantan.

Selain itu, anggota yang hadir turut menyuarakan cadangan untuk YB. Dr Hamdan mengemukakan ‘Dasar Pandang Ke Pantai Timur’ dan membawa pulang segala keunikan seni budaya di Kelantan ke Kedah.

“Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu pesan, kalau kita buat perkara baik dan orang tiru kita, kita akan dapat pahala. Jadi ambillah (dasar-dasar tersebut).

“Kelantan telah kemukakan dan terpulang untuk mana-mana pihak yang hanya perlu ambil laksanakan dan aplikasikan,” ujar YB. Dato’ Takiyuddin mengulas minat anggota rombongan terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri Kelantan ketika menyampaikan taklimat di Pusat Penerangan Pelancongan, di sini 2 Februari lalu.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa banyak perubahan dan pendekatan yang dirintis Kelantan telah diambil pakai kerajaan-kerajaan negeri lain di negara ini.

Terdahulu, rombongan telah diraikan dalam majlis makan malam dan persembahan kebudayaan di Kompleks Gelanggang Seni, di sini 1 Februari lalu.