24 November 2011

MELAWAT RUMAH KENA RIBUT.


Kg. Teloi Tua Sik - YB. Haji Yahya Abdullah melawat rumah kena ribut disamping menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban tuan rumah tersebut. Turut hadir MKK Kg. Merbau Kudung dan Pengerusi KSBS En. Badrol Hisham.

13 November 2011

Ketua DMPKS Terima Lawatan Muslimat Palastien.


Sik, 6 November 2011 - Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sik DMPKS menerima lawatan ziarah Muslimat Palastein di Kompleks PAS Kawasan, Kampung Sungai Pau. Dalam majlis tersebut muslimat Palastein berucap di depan orang ramai dengan di terjemahkan oleh Ust. Sobri Md Nor. Turut serta dalam majlis tersebut YB. Haji Yahya Abdullah, Setiausaha DMPKS Puan Nasiroh Dollah, dan Ketua DPPKS Mohd Subky Sulaiman.

07 November 2011

ADUN JENERI ANJUR IJTIMA' KORBAN.



6 Nov 2011 - Sg. Pau. ADUN Jeneri, Majlis Tindakan DUN Jeneri dan Majlis Tindakan DUN Belantek menganjurkan Ijtima' Korban 1432 H. Dalam majlis tersebut sebanyak 16 ekor lembu dikorbankan dan disempurnakan oleh Tuan Guru Haji Salleh Musa. Para petugas Unit Peti Undi (UPU) seluruh kawasan Sik turut membantu menguruskan sembelihan dan pengagihan daging pada hari raya pertama.
"Program ini bukan pertama kali kita adakan tetapi ianya telah lama kita tidak laksanakan, dan hari ini kita laksanakan kembali program yang orang-orang terdahulu laksanakan" kata YB. Haji Yahya Abdullah. Program seperti ini dapat mengeratkan silaturahim dan menyatukan semangat Ikram antara seluruh jentera parti disemua peringkat.
"Insyaallah kita akan laksanakan berterusan disetiap tahun untuk membantu golongan yang tidak mampu dan menolong orang-orang miskin diseluruh kawasan Sik" -ujar Setiausaha MTD Belantek Muhammad Rashid A.Rahman.

05 November 2011

MENDIDIK ANAK KE JALAN DI REDHOI ALLAH.



SIK - 02 Nov 2011. Mendidik anak-anak ke jalan keredhoan Allah menjadi tuntutan dan kewajipan setiap ibu bapa semua, berilah masa dan peluang untuk anak kita berjaya di dalam pelajaran dan kehidupan mereka, InsyaAllah ianya akan menjadi pahala kita di akhirat kelak, demikian kata Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor di Majlis Penyampaian Sumbangan kepada pelajar-pelajar IPTA & IPTS.
Beliau juga menasihati supaya anak-anak belajarlah bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan di menara gading dan tunjukkan kepada ibu bapa kita yang kita sayangkan mereka dengan kejayaan ini, katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.
Pada majlis tersebut YB. Haji Yahya Abdullah merangkap ADUN Jeneri menyampaikan sumbangan Kafalah kepada 80 orang waris si mati, yang mana Kafalah ini atas kesungguhan kerajaan Negeri Kedah untuk membantu keluarga yang tidak mampu.

21 Oktober 2011

YB. ZIARAH PEMUDA.

MERBAU KUDUNG, SIK - YB. Haji Yahya turun padang bagi sumbangan bola dan jaring untuk kegunaan latihan anak-anak muda di kampung tersebut.

17 Oktober 2011

Program Ramah Mesra Bersama Veteran PAS.

Kg. Jering Sik, Ybhg. Ustaz Mohd Isa bin Shafie~Tim. Pesuruhjaya PAS Kedah bersama Veteran PAS dan YB. Haji Yahya Abdullah~ADUN Jeneri turut serta memeriahkan majlis tersebut.

13 Oktober 2011

PENEROKA DAPAT DURIAN RUNTUH ATAU 'BALA".

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bimbang "durian runtuh" yang dikatakan bakal diterima peneroka selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (PGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menggelapkan masa depan mereka.

Penyenaraian yang akan dilakukan sebelum pertengahan 2012 ini dibimbangi akan menjejaskan ekuiti Bumiputera dalam Felda kerana ia membolehkan pelbagai syarikat besar melabur dalam institusi tanah yang dikuasai Orang Melayu itu.

Mengulas pengumuman tersebut, Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, penyenaraian tersebut hanya akan membuatkan nasib peneroka terumbang ambing kerana yang akan mendapat keuntungan besar melalui penyenarain itu ialah syarikat-syarikat besar.

"Kebimbangan kita mengenai perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Walapun ucapan Perdana Menteri terlalu pendek tapi bila (Najib) sebut FGVH akan disenaraikan dan kononnya peneroka mendapat "durian runtuh", ini bukan durian runtuh tapi "bala" yang akan diterima peneroka.

"Yang dikatakan "durian runtuh" itu mungkin saham percuma kepada peneroka...mungkin jumlahnya sepuluh hingga 15 ribu tapi barang diingat, bila FGVH disenaraikan di BSKL, ekuiti Bumiputra akan berakhir sebab penyenaraian ini membolehkan pelbagai syarikat besar untuk melabur di Felda," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam pembentangan belanjawan 2012 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bercadang menyenaraikan FGVH di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebelum pertengahan tahun 2012.

Mazlan sebaliknya mahu kerajaan mengutamakan teras utama Felda iaitu perladangan dan masa depan peneroka sendiri kerana pelbagai masalah utama peneroka masih belum selesai.

"Kita bukan anti pelaburan dan perniagaan tapi kerajaan harus mengutamakan nasib peneroka dahulu. Soal hutang peneroka, wang tanam semula, masalah selenggara kebun yang tidak diuruskan dengan baik masih membelenggu peneroka.

"Tapi Perdana Menteri langsung tidak menyentuh perkara ini sebaliknya dengan bangga mengumumkan penyenaraian FGVH yang saya pasti bukan peneroka yang mendapat untung besar," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Peluang kroni kaut untung

Dalam pada itu, Mazlan turut mendakwa penyenaraian tersebut merupakan "taktik" pihak berkuasa politik untuk terus mengaut keuntungan.

Menurutnya, pengumuman Najib itu dilihat kesinambungan daripada keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda yang "dikuasai" Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Ianya termasuk keputusan mencagarkan tanah Felda kepada FGVH yang dibuat tanpa kehadiran Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

"Saya yakin penyenaraian ini tidak lebih daripada menghidupkan kroni mereka kerana mereka tahu asas kekuatan Felda...dengan aset tanah, sektor komoditi yang kukuh, ini peluang terbaik mengumpul kekayaan.

"Bila mereka buat keputusan soal pelaburan, tanah yang dicagar, keputusan melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda, ini perancangan mereka yang membawa kepada pengumuman Perdana Menteri," katanya.

12 Oktober 2011

Tazkirah : Keluarga Di Utamakan.


Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Satu dinar yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, satu dinar yang kamu nafkahkan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang kamu berikan kepada orang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu maka yang paling besar pahalanya ialah dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu". (HR Muslim)

03 Oktober 2011

GOTONG ROYONG SIAPKAN RUMAH BERSAMA KELAB KSBS.



Kg. Kota Bukit, 29 September 2011 (Jumaat) - YB. Cikgu Yahya turun gotong royong menyiapkan rumah bersama Kelab Sukarelawan Belia Daerah Sik KSBS. Turut serta dalam gotong royong tersebut Ketua Kampung MKK dan penduduk-penduduk setempat bagi menyiapkan sebuah rumah seorang penduduk bernama Abd. Ghani b. Abd. Halim. Beliau berkata dahulu ada pihak yang berjanji ingin menyiapkan rumah beliau tetapi hampir setahun pihak tersebut tidak muncul-muncul dan Alhamdulillah YB. ADUN Jeneri bersama Kelab Sukarelawan Belia Daerah Sik turun membantu menyiapkan rumahnya. Sumbangan kewangan oleh YB. Cikgu Yahya dengan sumbangan tenaga oleh ahli kelab KSBS dan penduduk.

26 September 2011

HUDUD : Antara prinsip, keadilan dan helah politik.

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Perjuangan penting untuk umat Islam di Malaysia ialah mewujudkan suasana yang kondusif sebelum sesuatu undang-undang seperti hudud dilaksanakan.

Pakar Al-Quran dan Hadis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata suasana kondusif bermaksud tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat.

“Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut bekas Mufti Perlis itu, jika undang-undang hudud dilaksanakan dalam keadaan yang tidak kondusif seperti sekarang, antara natijah negatif yang mungkin berlaku ialah:

* Yang dihukum orang bawahan, dilepas orang atasan;

* Yang dihukum penzina; yang diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh;

* Yang dihukum peminum arak, yang digalakkan gambaran arak;

* Yang dihukum pencuri, yang dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan;

* Yang dihukum pemberontak; yang dibiarkan kezaliman penguasa.

Dalam keadaan seperti itu, Dr Mohd Asri berkata, sudah pasti hudud tidak dapat dilihat keindahannya, bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, ia boleh membinasakan masyarakat.

Menurutnya lagi, hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam kerana ia adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah.

“Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya.

“Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata bahawa dalam negara Islam, keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum yang tidak membezakan antara hukuman terhadap orang besar dan orang bawah.

“Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” katanya.

Beliau menambah keadilan Islam perlu diperlihatkan melalui kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga dan kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Dr Mohd Asri memberi contoh satu hadis di mana Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan atau pun musafir kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan suasana yang tidak kondusif.

Dengan melihat kepada nas yang seperti itu, katanya, persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Pada Januari lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa hukum hudud dan negara Islam yang diperjuangkan PAS tidak menjadi agenda utama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Hudud bukan agenda bersama Pakatan Rakyat, mana-mana negara nak laksanakan hukum hudud kena ikut prasyarat… kalau tidak, tidak boleh (laksanakan).

“Antara prasyarat adalah keadilan ekonomi, gaji minumum, kalau mencuri sebab miskin tidak boleh laksanakan (hukum hudud), pemerintah yang perlu dipersalahkan,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan berkata bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Pendirian kita (UMNO), kita tak boleh melaksanakan dalam situasi dan keadaan sekarang. Saya tak fikir dalam keadaan sekarang ia sesuai untuk dilaksanakan. Itu pandangan kita. Kita tak persoalkan nak melaksanakan hukum hudud,” katanya, mengikut laporan Bernama.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya akan dibuat setelah diterima oleh rakyat selepas mengikut keadah dan saluran demokrasi serta melalui proses legislatif-perundangan, dan bukan secara paksaan.

“Serangan PAS terhadap rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan pembaziran UMNO serta urus tadbir khianat dan pincang, adalah terbit dari prinsip Islam yang kami dukungi.

“Tidak dengan hudud pun kita boleh tentang UMNO dan Ketuanan Melayu yang sempit dengan Umnoputeranya,” kata beliau.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pula mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan media UMNO-BN yang sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

“Isu ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya akan datang.

“Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” katanya. – Roketkini.com

15 September 2011

Majlis Rumah Terbuka MTD Jeneri meriah...



9 Sept 2011 - Rumah Terbuka Aidilfitri MTD Jeneri berlansung di Dataran Kompleks PAS Kawasan Sik, Kg. Sungai Pau yang dihadiri seluruh rakyat di seluruh Dun Jeneri, dan diserikan lagi dengan kehadiran Kelab Sukarelawan Belia Daerah Sik membuat pelancaran pada hari tersebut.

08 September 2011

02 September 2011

RUMAH TERBUKA YANG BERHORMAT.

Tarikh : 5 Syawal 1432 bersamaan 3 September 2011
Masa : 2.00 Petang - 5.00 Petang
Tempat : Darul Abrar Kuala Dahanan, Jeniang Kedah.

Semua rakyat dijemput hadir....

JAMUAN AIDILFITRI YB. HAJI YAHYA BIN ABDULLAH

28 Ogos 2011

PERUTUSAN SELAMAT HARI RAYA ADUN JENERI


Assalamualaikum..wrhth
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang,
Selawat dan Salam Keatas Junjungan Nabi Muhammad dan juga Sahabat dan Keluarganya.

Alhamdulillah...kita semua dapat bernafas dan bertemu dengan ramadhan 1432H ini, kita dapat menghabiskan puasa ramadhan dengan sempurna dan menunaikan ibadat dengan baik sekali.
1 Syawal kini menjelma lagi dengan memberikan seluruh kehidupan ini bermula dengan “fitrah” (bersih) seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan berkat kerahmatan, keampunan dan kelepasan dari api neraka seperti yang dijanjikan oleh ALLAH swt.

Hari raya adalah hari kemenangan kita dalam perjuangan, hari raya adalah hari menyatukan ukhwah dan menyuburkan semangat ikram sesama kita khususnya dalam erti kata kawan-kawan seperjuangan. Renunglah sejenak dikesempatan kita hidup ini adakah kita sudah cukup berbuat amalan dan ibadat kita kepada Allah yang memberi rezeki melimpah ruah ini, rasanya sikit sangat kita bersyukur kepadaNya, marilah kita meneruskan ibadat dan amalan yang kita buat di bulan ramadhan, semoga Allah memberi kekuatan kepada kita...Amin.

Di kesempatan ini saya dan isteri mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN dan selamat pulang kepada semua anak-anak perantauan, berhati-hati dijalan raya ingat kepada yang menanti dan disayangi.

26 Ogos 2011

Kedah Selatan Panas Sikit...Apahal?

Kedah Selatan Panas Sikit... Apahal?

Kata cikgu ilmu alam dulu-dulu, kutub utara dan kutub selatan sangat sejuk, diselaputi ais. Tak dak orang boleh mugar buat kampung, hanya ada kaum eskimo yang duduk dalam gua ais. Ada beruang kutub yang bulunya tebal warna putih melepak. Seejuukkkk! Tak ramai yang boleh sampai dikutub yang sejuk ni, hanya saintis sekali sekala pi buat kajian itu ini. Matahari pulak suluh sepanjang tahun. ini perihal kutub utara dan selatan.
.
Lain pula Kedah selatan, belah-belah Bandar Bharu, Kulim dan Padang Serai...panas selalu. Yang terbaru ni pasal kerusi! Tak dak pasal-pasal, dua orang YB Kedah Selatan lari...melompat! Mula dari lompatan itu, ais dan glassier 'Kedah Selatan' cayaq (cair). Suasana jadi panas!
.
Lepas YDP PAS Kulim/Bandar Bharu melontar bahang akar umbi, Adun Kulim pun menjawab... katanya ada agenda pribadi, dan kalau kerana melompat, awat tak kacau Bakar Arang yang turut melompat. Tup tup Padang Serai pulak bersuara... Ya! di situ pun ada yang melompat.
.
Haaa! Lunas yang menang besar dalam PRU 12 pun diwakili Adun lompat sekarang, kena kaji semula kerusi tu...kata YDP Padang Serai pulak! Parlimen pun kena tengok balik. Akar umbi dah berbahang panasnya meluap-luap. Depa kerja teruk waktu PRU12, tiba-tiba yang dimenangkan lari ke seberang... partinya patut minta maaf dan pulangkan kerusi itu.
.
Seingat saya, semua ADUN PKR yang menjadi EXCO Pertama Kedah (first batch) sudah tiada dalam senarai Exco, dua melompat, satu mengundur. Line-up baru ni semua orang baru, dan tiada lagi Adun PKR yang belum jadi Exco...hebatt!
.
Komen PPN PKR negeri YB Abg Mat Kasim pun tak menyejukkan...PAS kena bersyukur! Kata Bang Mat. Bersyukur kerana tak melompat semuanya sekali???
.
Komen YAB MB cool.... pilihanraya lambat lagi, boleh bincang peringkat negeri, itu kehendak akar umbi, pimpinan belum pun berbincang hal yang tak berbangkit pun lagi. Itu cuma ribut dalam cawan. Boleh selesai bila sampai masanya. Cool kan?
.
Kita tunggu tengok la sikit masa lagi...pakat-pakat sabaq la..ada hal yang lebih mustahak sedang menanti kita semua. Ada beruang kutub senyum macam iklan ubat gigi bila kutub selatan mula panas!

>dari blog setpol kedah

18 Ogos 2011

YB SUMBANG DUIT MORE DI KAWASAN SIK



YB. Haji Yahya Abdullah menyampaikan sumbangan duit more di Kawasan Sik, walaupun tidak seberapa tapi besar maknanya, kata seorang pengerusi surau disini.

15 Ogos 2011

Ucapan Takziah Kepada Mangsa Kebakaran.


YB. Haji Yahya Abdullah melawat mangsa kebakaran di Kampung Seri Bulan Batu Besar, dan berliau mengucapkan takziah dan meminta supaya mangsa banyaklah besabar menepuh ujian dan dugaan di dalam bulan ramadhan ini.
Hadir sama Ketua Kampung & Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik.

13 Ogos 2011

Sumbangan "KAFALAH" Negeri Kedah


ADUN Jeneri menyampaikan sumbangan KAFALAH yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Kedah di bawah PAS, sumbangan ini untuk meringankan beban keluarga arwah.



11 Ogos 2011

09 Ogos 2011

Cikgu Ya Turun Edar "TAKWIM RAMADHAN".


Edaran di pasar sehari Kg. Kuala Jeneri sebelum menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

08 Ogos 2011

Salam Ramadhan & Selamat Berpuasa.

Assalamualaikum.wrhkh.., pihak kami memohon maaf kerana tidak dapat mengaktifkan blog ini buat sementara waktu oleh kerana kesibukan dan berlaku sedikit ganguan teknikal. Walau bagaimana pun InsyaAllah blog ini akan beroperasi semula dalam masa terdekat ini.

18 Mei 2011

Lensa Pengarang


16 Mei 2011 - Lawatan YB. Dato Seri Tn.Guru Hj. Abd Hadi Awang dan Dato' Mustafa Ali ke tapak pembangunan Kampus tetap Insaniah Kuala Ketil Kedah. Bersama juga Dato Seri Ustaz Hj. Azizan Abd Razak Menteri Besar Kedah.

02 April 2011

Laporan Pelaksanaan Dan Pencapaian Manifesto PAS - Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Adapun teori pentadbiran UMNO sepanjang penggal pilihanraya amat mudah, sebaik sahaja dapat kuasa lepas pilihanraya, masa untuk agihan, apa saja yang patut di agihkan sesama depa. Tahun pertama buat apa yang boleh menimbulkan keseronokan rakyat dan melaksanakan janji dalam pilihanraya.
Tahun kedua dan ketiga, tekan dan laksana dasar-dasar memaksa rakyat ikut kehendak kerajaan, seperti naik harga barang, naik yuran sekolah dan lain-lain. Tengok apa yang patut laksana dalam manifesto dan janji manis pilihanraya. Tahun ke empat, bermanis muka dan memberi gula-gula. Rakyat akan lupa manifesto dan bersedia menabur apa sahaja untuk hadapi pilihanraya seterusnya... Dalam tahun-tahun dekat pilihanraya ni jangan sesekali buat perkara yang menaikkan kemarahan dan kegelisahan rakyat. Hanya gula-gula.
Maka bila hilang kerajaan, depa sangka pengganti depa akan buat perkara yang sama dengan teori depa. Depa silap! Kerajaan PR memerintah dengan berusaha memajukan negeri dan rakyat sepanjang penggal. Kita buat apa yang betul dan patut untuk negeri dan rakyat sebagai sebuah kerajaan. Kita bekerja hingga ke hari terakhir sebelum pilihanraya tanpa gula-gula palsu kerana kita janjikan Kedah Sejatera, kita tidak bodohkan orang ramai dengan gula-gula.
Akhir-akhir ini, menjelang pilihanraya umum ke 13, BN Kedah menjerit kepada rakyat PAS tak laksanakan Manifesto Pilihanraya... tujuannya supaya rakyat Kedah yang dibuai teori UMNO itu selama 11 kali pilihanraya bangkit dari membuntoti teriakan depa.Tujuannya supaya PR tak sempat laksanakan apa-apa lagi kerana masa sudah suntuk.
Masalahnya, teori itu tiada dalam kamus PR. Kita laksanakan berdasarkan kemampuan kita selama 3 tahun ini apa kita tulis dalam manifesto, tanpa had masa dan tak kira dekat atau jauh lagi pilihanraya.
Selepas tiga tahun, saya perturunkan Laporan Pencapaian Dan Pelaksanaan Manifesto PAS yang dirujuk sebagai Manifesto PR untuk dinilai oleh rakyat. Pencapaiannya seperti berikut:
Sudah berjaya dilaksanakan (44 perkara) - 78.5%
Sedang dalam proses pelaksanaan (4 perkara) - 7.2%
Belum dapat dilaksanakan (8 perkara) - 14.3%
Berikut adalah butirannya:

PENCAPAIAN CEMERLANG YANG TIDAK BERDASARKAN JANJIDALAM MANIFESTO



1.Melancarkan Skim Kafalah sebagai salah satu jenis bantuan kerajaan negeri kepada orang miskin apabila berlaku kematian tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

2.Membina kampus induk KUIN di Kuala Ketil dengan nilai RM 330 juta di atas tanah 831 ekar.

3. Meneningkatkan hasil kerajaan negeri melalui pembalakan sehingga mencatat kutipan hasil RM 53 juta pada 2010 dan telah dinyatakan dalam kapasiti Ketua Audit Negara 2010.

4.Melantik dan melatih 1993 orang MKK di seluruh negeri untuk memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan.


5.Mewujudkan Tabung Tunku Mahmud sebagai tabung bantuan pendidikan di negeri Kedah.




LAPORAN MANIFESTO PILIHANRAYA PAS KEDAH

(PERKARA YANG TELAH DILAKSANAKAN)



1.PENTADBIRAN

a)Memastikan pentadbiran yang sifar rasuah.

Keterangan:

Pentadbiran sifar rasuah telah dilaksanakan dan akan dipastikan berterusan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Sehingga kini, kerajaan berjaya memimpin dengan bukti sebuah kerajaan yang bersih kerana tiada pegawai/kakitangan kerajaan yang disabitkan dalam rasuah.

Pihak kerajaan telah berikrar tidak akan melindungi pegawai dan kakitangan serta bersikap terbuka kepada SPRM untuk membuat siasatan sekiranya terdapat aduan.


b)Melaksanakan perancangan strategik dengan tujuan menambah hasil dan mengurangkan perbelanjaan.

Keterangan:

Perakuan Laporan Ketua Audit Negara 2009 berkenaan perbelanjaan berhemah, penjimatan serta penambahan hasil dalam negeri.

Buat pertama kalinya, pihak GLC telah menyumbang dividen kepada pihak kerajaan sebanyak RM 30 juta.

Kewanagn negeri lebih kukuh apabila berjaya melepasi paras defisit RM 16 juta pada tahun 2010.

Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Strategik Kedah Sejahtera 2010-2015 yang meliputi bidang makro-ekonomi, industry, pelancongan, pertanian, teknologi maklumat dan telekomunikasi, pembangunan modal insan serta utiliti dan infrastruktur dengan tujuan menambah hasil pendapatan negeri.


c)Mengkaji semula elaun dan keistimewaan yang dinikmati oleh Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

Keterangan:

Menteri Besar dan EXCO telah membuat pemotongan elaun secara bulanan ke Tabung Tunku Mahmud.

Pengurangan elaun mesyuarat

( Pemberian elaun di Zaman UMNO/BN mencecahsehingga RM 7 juta setahun)

(Pemberian elaun semasa pentadbiran Pakatan Rakyat tidak mencapai RM 2 juta setahun)

Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC tidak diberikan elaun bulanan seperti sebelum ini


d)Melaksanakan pemberian kontrak secara telus dan adil.

Keterangan:

Pemberian kontrak sesuatu projek telah dilaksanakan secara telus dan adil. Kerajaan telah melaksanakan sistem tender terbuka bagi memastikan peningkatan hasil serta tidak berlaku penyelewengan.

Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan hasil kerajaan negeri sejak mengambil alih urusan pentadbiran kerajaan. Laporan Ketua Audit Negara (2009) menyatakan Kedah telah berjaya meningkatkan hasil sehingga 205% berbanding tahun 2007.

2.HAL EHWAL ISLAM

a)Mempercepat proses penyelesaian masalah kekeluargaan Islam dalam Mahkamah Syariah

Keterangan:

Bilangan hakim syariah telah dipertingkatkan dan menubuhkan Mahkamah Rayuan bagi menyelesaikan masalah kekeluargaan Islam di Kedah.

Kompleks Mahkamah Syariah yang baru telah siap dibina dan beroperasi di Alor Setar.


b)Menubuhkan Institusi Imam (Maahad Imamah) untuk melahirkan pegawai masjid yang terlatih.

Keterangan:

Kolej Universiti Insaniah (KUIN) telah dilantik sebagai pelaksana menggantikan Institusi Imam untuk melatih dan memberi kursus kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Kedah. Pada awal 2011, kumpulan pertama seramai 40 orang pegawai masjid telah dipilih untuk mengikuti kursus tersebut secara berperingkat.

Pemilihan imam telah dilaksanakan melalui temuduga di peringkat masjid. Kaedah ini didapati lebih adil dan telus dalam memilih imam di qaryah masing-masing.

Tiada campur tangan politik daam pemilihan imam di setiap qaryah


c)Elaun imam yang setimpal dengan peranan mereka sebagai ketua qaryah

Keterangan:

Elaun yang diberi kepada imamoleh JAKIM melalui kerajaan negeri adalah setimpal dengan keadaan semasa dan akan dipertimbangkan mengikut keperluan.


d)Memberi elaun kepada guru-guru agama dan guru-guru Al-Quran persendirian

Keterangan:

Pihak kerajaan telah memberi elaun tersebut melalui saguhati semasa bulan Ramadhan dua tahun berturut-turut. Hal ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.


3.HAK DAN KEPENTINGAN NON-MUSLIM

a)Menjamin peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama dihormati mengikut kepercayaan masing-masing

Keterangan:

kerajaan terus memberi kebebasan beragama kepada rakyat dan disamping memberi perlindungan dan sokongan kepada program-program keagamaan dan kebudayaan di Kedah tanpa sebarang gangguan.
b)Mengiktiraf dan menjamin budaya, adat resam dan bahasa semua kaum

Keterangan:

Kerajaan telah mengadakan majlis dan memberi sumbangan bagi meraikan masyarakat Cina, India dan Siam seperti Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya.

Pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 1.5 juta khusus untuk aktiviti/program pelbagai kaum di Kedah. (Peruntukan seperti ini tidak pernah wujud sebelum ini).

Sekolah-sekolah jenis kebangsaan (persendirian) juga turut diberi bantuan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan pencapaian sekolah-sekolah tersebut. Contohnya:

a) Menyediakan tanah seluas 3 ekar di Jalan Suka Menanti kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong.

b) Menyediakan tapak seluas 3 ekar di Sg. Tok Pawang, Bedong kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil.

c) Pemberian kewangan sebanyak RM 50,000 kepada SMJK(C) Keat Hwa untuk kegunaan pasukan pancaragam yang akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

d) Menyelesaikan pembayaran bil-bil yang tertunggak



c)Melantik EXCO daripada wakil rakyat bukan Islam

Keterangan:

Perkara ini telah dilaksanakan iaitu dengan melantik YB Manikumar, YB Lim Soo Nee dan YB Tan Chow Kang sebagai EXCO Kerajaan Negeri Kedah.


4.PENDIDIKAN

a)Memberi bantuan khas kepada Sekolah Agama Rakyat untuk menjamin kelangsungan dan kemajuan sekolah itu.

Keterangan:

Kerajaan telah memperuntukan bantuan tahunan sebanyak RM 2.1 juta kepada Sekolah Agama Rakyat sejak tahun 2008.
b)Menjadikan Kolej Universiti Insaniah sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Islam di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia

Keterangan:

Kampus tetap KUIN sedang dibangunkan di atas tanah seluas 320 ekar di Kuala Ketil dengan kos RM 330 juta yang mampu menampung sehingga 7000 orang pelajar serta meliputi pelbagai bidang dan kemudahan yang lengkap demi keselesaan pembelajaran pelajar.

Sehingga kini, penuntut KUIN telah mencecah angka 4492 orang termasuk pelajar-pelajar asing daripada 35 buah negara.

KUIN telah dimajukan dengan 42 program pengajian di pelbagai peringkat, bermula dari Pengajian Asasi kepada Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang meliputi bidang Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam, Perniagaan, Pengurusan, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Kejururawatan, Perhotelan dan pelbagai lagi.

Kerajaan juga telah memberi biasiswa dan insentif kepada pelajar yang cemerlang untuk menyambung pengajian mereka.



c) Melancarkan program pendidikan komuniti. Kumpulan sasaran terdiri daripada ibu bapa, guru-guru, pelajar-pelajar dan pemimpin masyarakat yang bertanggungjawab member kesedaran tentang kepentingan pendidikan dan tanggungjawab anggota masyarakat dalam proses pendidikan.

Ulasan/Cadangan:

Kelas-kelas pengajian telah dilaksanakan di banyak tempat termasuk di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Bangunan Menara Zakat dan pusat-pusat pengajian tradisional (pondok)yang mendapat sambutan hingga ribuan peserta.



5.EKONOMI



a)Menyediakan Pelan Tindakan Ekonomi Kedah yang realistic dan mengambil kira perancangan Wilayah Ekonomi Utara tajaan Kerajaan Pusat.

Keterangan:

Telah dilancarkan Pelan Strategik Kedah Sejahtera 2010 – 2015 yang meliputi bidang makro-ekonomi, industry, pelancongan, pertanian, teknologi maklumat dan telekomunikasi, pembangunan modal insan serta utiliti dan infrastruktur dengan tujuan menambah hasil pendapatan negeri.

b)Mewujudkan suasana ‘mesra pelabur’ dengan mengurangkan karenah birokrasi dan pengurusan sifar rasuah di semua peringkat pentadbiran.

Keterangan:

Sejak ditadbir oleh Pakatan Rakyat, kerajaan telah berjaya menarik perhatian pelabur di Kedah dengan dasar yang dilaksanakan .

Sehingga awal 2010, pelaburan di Kulim Hi-Tech berjumlah RM 1.529 bilion

Kedah merupakan negeri ke-5 nilai Pelaburan Asing Langsung (FDI) tertinggi di Malaysia sebaris negeri-negeri maju selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.


6.TANAH DAN HASIL NEGERI

a)Memastikan setiap pengambilan tanah yang dibuat hanya untuk kepentingan awam dengan bayaran yang setimpal dan munasabah.

Keterangan:

Perkara ini telah dilaksanakan sepanjang masa setelah mengambil alih pentadbiran kerajaan. Sehingga kini, tiada pertikaian berkenaan pampasan yang telah diberikan. Ini membuktikan pembayaran yang diberi adalah setimpal dan munasabah.



b)Mengkaji semula kadar cukai tanah yang membebankan rakyat.

Keterangan:

Kerajaan telah menurunkan kadar cukai tanah dari 25-75% kepada rakyat walaupun mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil sehingga RM 50 juta.

Bagi tanah pendidikan, Kerajaan Negeri hanya mengenakan bayaran tahunan RM 10 bagi setiap lot tanah sekolah persendirian termasuk juga premis kebajikan yang tidak berorientasikan keuntungan.

c)Menguruskan hasil hutan secara telus dimana setiap lesen pembalakan yang dikeluarkan berasaskan tender terbuka yang memberikan peluang maksimum.

Keterangan:

Proses tender balak telah dilakukan secara tender terbuka. Laporan Ketua Audit Negara menyebut Kedah telah berjaya meningkatkan hasil sebanyak 205% berbanding tahun 2007.

Fakta: Kutipan hasil balak*

Purata 2004-2007 RM 9.5 juta

2008 RM 35 juta

2009 RM 38 juta

2010 RM 53 juta

*(Hasil yang diperoleh adalah dari keluasan tanah dan kuota tebangan yang sama)



d)Memberi potongan (rebat ) antara 25-75 peratus dari perbezaan kenaikan cukai yang dikenakan mulai 2006.

Keterangan:

Walaupun terpaksa kehilangan kutipan hasil sekitar RM 50 juta, kerajaan telah menunaikan janji yang dinyatakan dalam manifesto dengan memberi potongan cukai antara 25-75% dari perbezaan cukai yang dikenakan mulai tahun 2006.

Potongan yang diberikan adalah berbentuk rebat.



7.PERTANIAN

a)Membangunkan pertanian negeri dengan memberikan keutamaan kepada pengeluaran makanan secara komersial yang diterajui oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kedah yang akan ditubuhkan.

Keterangan:

Kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan 2008-2015 yang merangkumi pembangunan pertanian di Negeri Kedah.

Pelan hala tuju tersebut telah memberi fokus kepada projek tanaman padi, jagung, nanas, sayuran dan penternakan.

Selain itu, Kedah Agro dan Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah (KLPK) turut rancak menjalankan program-program merakyatkan pertanian. Antaranya memberikan pendedahan kepada penduduk kampung cara-cara menghasilkan cecair EM yang merupakan bahan utama dalam penghasilan Baja Kompos, Silaj, Baja Buah, Baja Daun dan penghalau serangga.

Julung kalinya Kerajaan Negeri telah memperuntukkan wang tambahan berjumlah RM 13 juta kepada Jabatan Pertanian Kedah dalam membangun dan merakyatkan pertanian di Negeri Kedah.

Peruntukkan khusus seperti ini tidak pernah diberikan sebelum ini.

8.PEMBANGUNAN INSAN
a)Mewujudkan sebuah badan/agensi khusus bagi menggalakkan pembangunan keluarga bahagia serta menangani persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kebahagiaan keluarga.

Keterangan:

Telah diwujudkan Sekretariat Kem Bina Shakhsiah di bawah EXCO Pembangunan Insan yang telah menganjurkan beberapa siri Kem Bina Shakhsiah, Kem Anak Soleh & Kem Bina Insan yang merupakan sebahagian usaha kea rah pembangunan insane serta kebahagiaan keluarga.

Kerajaan juga telah memperuntukkan RM 3.5 juta untuk penubuhan Institut Latihan Belia Sejahtera di Sg. Petani sebagai institusi pembentukkan shakhsiah dan pembangunan insane para remaja.



b)Mengawal semua punca yang boleh menyumbang kepada kemunculan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, lepak, pergaulan bebas dan hiburan melampau.

Keterangan:

Perkara ini telah dilaksanakan seawal pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Rakyat melalui unit khas iaitu Unit Mencegah Gejala Sosial (UMGAS). Unit ini telah melaksanakan beberapa aktiviti Latihan Lapangan Anti Gejala Sosial (LANDAS) khususnya di beberapa kawasan sasaran gejala tersebut.

c)Menganjurkan program-program yang menyuburkan kreativiti, inovasi dan keusahawanan.

Keterangan:

Kerajaan telah menganjurkan beberapa program melalui Urusetia Belia dan Pembangunan Insan kepada para remaja dan belia seperti kem motivasi, kepimpinan dan keusahawanan mengikut modul-modul yang telah disediakan.

Sebagai galakkan keusahawanan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 2 juta bagi tahun 2010 untuk membantu memajukan usahawan Insustri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera melalui pembiayaan Dana Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).


9.PIHAK BERKUASA TEMPATAN

a)Menjadikan PBT prihatin, peka dan responsif kepada keperluan dan kehendak penduduk dalam sempadan PBT masing-masing yang merupakan kumpulan pembayar cukai.

Keterangan:

Pembentukkan Ahli Majlis lantikan politik yang baru setelah mentadbir kerajaan negeri telah mengambil inisiatif melaksanakan beberapa isu kehendak dan keperluan penduduk.

Perkara ini telah direalisasikan dengan urus tadbir yang lebih telus tanpa mengira fahaman politik dan perkauman.



b)Mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelupusan sisa pepejal dan sistem saliran longkang.

Keterangan:

Kedah mendahului negeri-negeri utara iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Perak dengan menandatangani MoU dengan kontraktor dilantik bagi pengurusan sisa pepejal.

Dengan pengambilalihan operasi secara interim berkuatkuasa 1 November 2009, aspirasi kerajaan dan PBT untuk menjadikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih berkesan dan berkesan kini terlaksana.

Perundingan sedang berjalan dengan pihak-pihak terbabit untuk merealisasikan perkara ini.

Pihak PBT dan MKK juga telah menghidupkan dan melaksanakan konsep gotong-royong yang disarankan oleh pihak kerajaan. Dengan membudayakan gotong-royong, dapat mengurangkan kos serta menyemai sikap sayang dan tanggungjawab terhadap harta ataupun kemudahan awam.



c)Mewujudkan golongan Bumiputera berniaga di pusat bandar bagi mencerminkan komposisi kaum.

Keterangan:

Arahan kepada PBT telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk memudahkan proses permohonan lesen dan telah dilaksanakn oleh PBT masing-masing.

Kewujudan up-town di bandar, ekspo-ekspo niaga dan Karnival Kedah Sejahtera telah membuktikan golongan bumiputera tidak dipinggirkan. Dengan kewujudan ini juga telah membuka ruang dan peluang kepada peniaga bumiputera untuk memperluaskan pernigaan masing-masing.

Selain itu, lesen sementara juga telah dikeluarkan kepada peniaga bumiputera untuk berniaga di kawasan-kawasan yang telah di tetapkan oleh PBT.



d)Mengkaji semula kadar cukai pintu selaras dengan dasar penswastaan kutipan sampah bagi meringankan beban rakyat

Keterangan:

Pihak kerajaan telah mengkaji kadar cukai pintu sedia ada selaras dengan dasar penswastaan kutipan sampah. Kadar sedia ada yang telah dikenakan didapati munasabah serta tidak membebankan rakyat.


10.PEMBANGUNAN DAN KEPERLUAN KEMUDAHAN ASAS

a)Memperbanyakkan serta mempermudahkan peluang bagi rakyat terutama sekali yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang selesa.

Keterangan:

Sebanyak 1,181 unit rumah mampu milik sedang dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. di atas tanah seluas 40 hektar di Pokok Sena yang dikenali sebagai Bandar Sejahtera.

Bina Darul Aman Berhad (BDB) juga sedang menyegerakan pembinaan rumah mampu milik di Kubang Pasu dan Baling, masing-masing sebanyak 420 unit dan 440 unit.

Pembinaan rumah mampu milik ini diyakini mampu mengatasi keperluan 23,000 pemohon rumah dikalangan rakyat yang berpendapatan rendah sekaligus dapat membasmi setinggan bandar .



b)Menilai dan menyusun semula Jabatan Bekalan Air Kedah dengan tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan dan kemungkinan menurunkan kadar caj air demi kebajikan rakyat.

Keterangan:

Sejak 1 Januari 2010, pengurusan Jabatan Bekalan Air telah dikorporatkan sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri dengan nama Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Pihak SADA juga telah menjalankan kerja-kerja penukaran paip yang lama kepada paip yang baru bagi menjamin kualiti dan kebersihan air untuk kegunaan harian.

Bagi mengatasi tuntutan keperluan air semasa dan masa depan, pihak SADA juga sedang membina tiga buah loji rawatan air di Padang Sanai, Lubuk Buntar dan Jeniang.


c)Menambah kemudahan rekreasi disamping menyelenggara kemudahan yang sedia ada sesuai dengan gaya hidup moden.

Keterangan:

Pembinaan Taman Jubli Emas di Suka Menanti, Alor Setar merupakan salah satu kawasan rekreasi yang dibangunkan sesuai dengan gaya hidup moden. Turut disediakan pelbagai prasarana lengkap khususnya untuk aktiviti sukan lasak.

Kerajaan Negeri telah menggalakkan pihak pemaju menyediakan kawasan lapang untuk beriadah dan bersukan serta taman permainan kanak-kanak di taman-taman perumahan yang dibangunkan.

Perancangan penambahbaikan turut diambil perhatian oleh EXCO Perlancongan dalam bidang tumpuan utama, iaitu:

a)Penubuhan Unit Pelancongan Negeri

b)Memajukan Pelancongan Kesihatan di Langkawi

c)Memajukan Produk Pelancongan Langkawi Antarabangsa

d)Memajukan Produk Warisan di Alor Setar dan Lembah Bujang

e)Menaiktaraf Produk Suka Lasak di Sungai Sedim dan Sungai Kedah

* (Sumber: Pelan Strategik Kedah Sejahtera 2010-2015, UPEN)


11.HAL EHWAL WANITA

a)Memberi cuti bersalin selama 3 bulan: 1 bulan sebelum dan 2 bulan selepas melahirkan anak bagi kakitangan wanita dalam perkhidmatan awam tanpa menghadkan bilangan anak.

Keterangan:

Kerajaan negeri akan melaksanakan cuti ini selaras penguatkuasaannya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Pemberian cuti ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2011 yang telah dibentang dalam Belanjawan 2011 selaras dengan cadangan dan keputusan kerajaan negeri sebelum ini.



b)Mewujudkan organisasi wanita di setiap daerah bagi melatih dan melahirkan pemimpin untuk membantu meningkatkan kesedaran dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

Keterangan:

Sehingga kini sebanyak 14 buah pertubuhan wanita ditubuhkan, manakala 1 lagi dalam proses penubuhan dan menunggu kelulusan. Kewujudan pertubuhan/persatuan wanita ini adalah untuk melatih dan melahirkan pemimpin untuk membantu meningkatkan kesedaran dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

Berikut adalah senarai NGO wanita yang telah ditubuhkan:

a)Pertubuhan Wanita Sepakat Langkawi

b)Pertubuhan Wanita Ihsan Parlimen Jerlun (ALWANI)

c)Pertubuhan Wanita Sejahtera Kubang Pasu

d)Pertubuhan Wanita Prihatin Parlimen Alor Setar

e)Pertubuhan Amal Wanita Pokok Sena (PAWANA)

f)Pertubuhan Wanita Daerah Padang Terap (PEJIWA)

g)Pertubuhan Wanita Pengasih Parlimen Kuala Kedah (SUMBANGSIH)

h)Pertubuhan Wanita Prihatin Daerah Pendang (PEWANGI)

i)Persatuan Wanita Muhibbah Yan

j)Pertubuhan Wanita Parlimen Sg. Petani (SAHARA)

k)Persatuan Kebajikan Wanita Daerah Sik

l)Pertubuhan Wanita Prihatin Baling

m)Persatuan Amal Wanita Daerah Kulim (PERMATA)

n)Persatuan Kebajikan Wibawa Bandar Baharu



12.KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN SOSIAL
a)Memperkemas fungsi dan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk mengkaji semula kadar bantuan bulanan dan kadar bantuan bencana.

Keterangan:

Setelah mengkaji kadar bantuan JKM, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 1 juta menjadi RM 13.5 juta untuk tahun 2010 kepada JKM bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diambil perhatian yang serius khususnya apabila berlaku bencana.
13.BELIA


a)Menyediakan pinjaman modal tanpa riba dan latihan kemahiran secara percuma kepada belia yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Keterangan:

Bagi melahirkan usahawan belia yang lebih mantap dan berdaya saing, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2 juta pada tahun 2010 melalui pembiayaan Dana Usahawan PKNK sebagai pinjaman modal memula dan memperkembangkan perniagaan.

Latihan kemahiran turut diberikan untuk golongan belia yang berminat menceburi bidang perniagaan melalui Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS).



b)Membasmi pengangguran dengan menyediakan dasar yang mengutamakan belia Kedah dalam pengambilan pekerja oleh syarikat-syarikat terpilih.

Keterangan:

Kerajaan negeri telah berusaha mengurang dan membasmi kadar pengangguran di Kedah dengan menetapkan dasar dan syarat kepada pelabur untuk mengutamakan rakyat negeri ini dalam pengambilan pekerja oleh syarikat-syarikat yang melabur di Kedah.

Perkara ini dapat dibuktikan melalui data yang telah dikeluarkan oleh Laporan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Pedana Menteri iaitu kadar pengangguran di Kedah telah menurun daripada 3.8% pada 2004 kepada 3.3% pada 2008.



c)Mewujudkan Akademi Kepimpinan untuk melahirkan pemimpin belia yang berketrampilan.

Keterangan:

Bagi melahirkan pemimpin belia yang berketrampilan dan berkualiti, Sekretariat Belia Sejahtera telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi merancang dan melaksanakan aktiviti berkaitan belia.

Selain itu, sebanyak 10 kelab/pertubuhan/NGO belia di peringkat parlimen juga telah ditubuhkan, iaitu:

a)Pertubuhan Belia Sejahtera Sg. Petani (BERANI)

b)Pertubuhan Belia Sejatera Sik (BEST)

c)Pertubuhan Bahtera Prihatin (Kuala Kedah)

d)Pertubuhan Belia Sejahtera Padang Terap

e)Pertubuhan Belia Sejahtera Padang Serai (BESTARI)

f)Pertubuhan Belia Merbok (PERELOK)

g)Pertubuhan Belia Sejahtera Pokok Sena (PERSONA)

h)Persatuan Belia Fateh Kubang Pasu

i)Kelab Jerai Sejahtera

j)Bahtera Prihatin Kuala Kedah



Kerajaan juga telah meluluskan pembinaan Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) di Sg. Petani sebagai institusi melatih kepimpinan belia melalui pelbagai modul dan aktiviti sepanjang mengikuti kursus tersebut.

14.SUKAN DAN REKREASI


a)Menjadikan Kedah terkenal dalam beberapa jenis sukan terpilih seperti bola sepak, takraw dan silat olahraga melalui bantuan dan insentif kepada badan sukan.

Keterangan:

Kerajaan telah melunaskan hutang peninggalan kerajaan sebelum ini sebanyak RM 5 juta.

Julung kalinya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah memiliki bas sendiri dimana penyerahan bas ini telah disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 21 April 2010.

Pelbagai bantuan dan insentif telah diberikan kepada badan sukan di Kedah melalui peruntukan EXCO Belia dan Sukan bagi meyemarakkan semangat kesukanan disamping mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang sukan.

Kerajaan juga telah memberi insentif kepada atlet-atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Kedah dipersada kebangsaan dan antarabangsa seperti wang tunai dan lot tanah seperti pemain bola sepak yang telah memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini.


b)Mempopularkan sukan permotoran dan sukan ekstrem dengan menyediakan prasarana berkaitan dan akademi latihan.

Keterangan:

Kerajaan Negeri telah menganjurkan beberapa aktiviti sukan permotoran dan sukan lasak sebagai sukan popular di Kedah. Antaranya ialah:-

a)Junggle Trekking Gunung Jerai

b)Belon Panas di Taman Jubli Emas, Alor Setar

c)Sukan Motorcross di Bukit Jambul

d)Perlumbaan ‘Sprint Test’ di Taman Jubli Emas, Alor Setar

e)Sukan ekstrem seperti basikal dan papan luncur di Taman Jubli Emas, Alor Setar

f)Aktiviti menyelam (scuba diving) di Pulau Payar

g)Acara sukan arus deras ‘White Water Rafting’ di Sungai Sedim, Kulim

h)Perlumbaan ‘Cub Prix’ di Perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar



c)Menyediakan pusat aktiviti rekreasi keluarga di setiap daerah.

Keterangan:

Pusat aktiviti rekreasi yang sedia ada di setiap daerah telah mencukupi untuk masyarakat beriadah dan berehat. Penambahan pusat aktiviti rekreasi akan ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan masyarakat setempat.

Pemaju perumahan telah ditetapkan syarat untuk menyediakan pusat rekreasi keluarga di setiap taman perumahan yang dibangunkan khususnya dengan menyediakan kawasan lapang untuk bersukan dan riadah serta taman permainan kanak-kanak.


15.ALAM SEKITAR DAN PELANCONGAN


a)Memastikan pembangunan fizikal tanpa menjejaskan kualiti udara, sungai dan hutan.

Keterangan:

Perkara ini telah menjadi polisi kerajaan.

Memindahkan Projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) daripada tanah sawah seluas 4300 ekar ke lokasi lain.


b)Menjamin kewujudan zon hijau (green belt) di kawasan bandar.

Keterangan:

Kewujudan zon hijau di kawasan Bandar telah diberi perhatian serius dan dilaksanakan di bawah penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan Kempen Sejuta Pokok dengan menanam pokok yang bertujuan memelihara alam dan mewujudkan zon jihau di kawasan-kawasan Bandar.


c)Membangunkan tempat pelancongan baru secara terancang.

Keterangan:

Tempat pelancongan baru telah dibangunkan secara terancang seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Tree Top Walk Sg. Sedim, Pantai Merdeka, Terap Inn dan Regency Jerai Hills Resort.



d)Membuka peluang dan mempergiat penyertaan rakyat dalam kegiatan pelancongan.

Keterangan:

Kerajaan Negeri telah membuka peluang kepada rakyat untuk terlibat sama dalam kegiatan pelancongan khususnya dengan mewujudkan homestay di kawasan yang berpotensitinggi sebagai destinasi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Kedah.



LAPORAN MANIFESTO PILIHANRAYA PAS KEDAH
(PERKARA YANG SEDANG DALAM PELAKSANAAN)



1.PENTADBIRAN

a)Menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan

Ulasan/Cadangan:

Sedang dilaksanakan


2. TANAH DAN HASIL NEGERI

a)Memberi tanah pertanian kepada rakyat termiskin mengikut konsep Ladang Rakyat

Keterangan:

Sedang dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan, Kedah Agro mengikut kaedah Contract Farming.

Memberi tanah pertanian kepada rakyat termiskin mengikut konsep ladang rakyat dimana tanah yang dimiliki adalah dalam bentuk saham syarikat yang mengusahakan tanah rakyat tersebut.

Pihak Kedah Agro masih dalam perancangan menyusun beberapa jenis pertaniah yang sesuai dilaksanakan mengikut kesesuaian lokaliti dan iklim tanah yang dicadangkan.



1.PERTANIAN

a)Membangunkan Lembah Jerai sebagai Agro-hub (pengkalan hasil pertanian) Negeri Kedah

Keterangan:

Gagasan YAB Mentei Besar Kedah sebagai Belanda Timur sedang giat direalisasikan khususnya pertanian di Lembah Jerai mengikut Pelan Hala Tuju Pembangunan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman 2008-2015.

Kerajaan juga optimis melalui teknologi serta pembangunan dan penyelidikan untuk meningkatkan hasil pertanian berdasarkan aktiviti pembuatan.



2.BELIA

a)Menggalak dan memudahkan proses perkahwinan dikalangan belia

Keterangan:

Kerajaan Negeri telah menganjurkan program Mahligai Sejahtera di Seri Mentaloon Alor Setar sebagai salah satu langkah untuk menggalak dan memudahkan proses perkahwinan dikalangan belia.

Modul khas berkaitan kekeluargaan Islam juga telah dirangka dan akan dilaksanakan di Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) setelah memulakan operasinya di Sungai Petani.



LAPORAN MANIFESTO PILIHANRAYA PAS KEDAH

(PERKARA YANG BELUM DILAKSANAKAN)



1. EKONOMI

a)Menubuhkan institusi Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) sebagai alternatif kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Belum dilaksanakan


2.PERTANIAN

a)Mewujudkan Skim Perlindungan Takaful kepada golongan petani, penternak dan nelayan.

Belum dilaksanakan


3.HAL EHWAL WANITA

a)Mengiktiraf suri rumah sepenuh masa sebagai tenaga kerja produktif yang boleh menyumbang kepada pendapatan keluarga dengan mewujudkan peluang pekerjaan di rumah.

Belum dilaksanakan

b)Memberi cuti eddah kepada wanita yang kematian suami selama tiga puluh hari dan empat belas hari kepada suami yang kematian isteri.

Belum dilaksanakan



c)Menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja serta menggalakkan pihak swasta mengadakan kemudahan yang sama.

Belum dilaksanakan


KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNA SOSIAL

a) Mewujudkan Tabung Bantuan Kemiskinan untuk membantu golongan miskin tanpa membezakan agama, kaum dan fahaman politik.

Belum dilaksanakan



b) Memberi perlindungan takaful kepada warga emas tanpa mengira kaum.

Belum dilaksanakan



4.SUKAN DAN REKREASI

a)Menyediakan kemudahan sukan khusus untuk golongan wanita dan kurang upaya.

Ulasan/Cadangan:

Belum dilaksanakan



HASIL LAPORAN MANIFESTO PILIHANRAYA PAS KEDAH

1.Perkara yang telah dilaksanakan : 44 (78.5%)

2.Perkara yang sedang dalam pelaksanaan : 4 (7.2%)

3.Perkara yang belum dilaksanakan : 8 (14.3%)

























































PENCAPAIAN CEMERLANG YANG TIDAK BERDASARKAN JANJIDALAM MANIFESTO



1.Melancarkan Skim Kafalah sebagai salah satu jenis bantuan kerajaan negeri kepada orang miskin apabila berlaku kematian tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.



2.Membina kampus induk KUIN di Kuala Ketil dengan nilai RM 330 juta di atas tanah 831 ekar.



3.Meningkatkan hasil kerajaan negeri melalui pembalakan sehingga mencatat kutipan hasil RM 53 juta pada 2010 dan telah dinyatakan dalam kapasiti Ketua Audit Negara 2010.



4.Melantik dan melatih 1993 orang MKK di seluruh negeri untuk memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan.



5.Mewujudkan Tabung Tunku Mahmud sebagai tabung bantuan pendidikan di negeri Kedah.