KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Perjuangan penting untuk umat Islam di Malaysia  ialah mewujudkan suasana yang kondusif sebelum sesuatu undang-undang  seperti hudud dilaksanakan.
Pakar Al-Quran dan Hadis, Prof Madya  Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata suasana kondusif bermaksud  tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat.
“Suasana  yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut  membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan  masyarakat Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut  bekas Mufti Perlis itu, jika undang-undang hudud dilaksanakan dalam  keadaan yang tidak kondusif seperti sekarang, antara natijah negatif  yang mungkin berlaku ialah:
* Yang dihukum orang bawahan, dilepas orang atasan;
* Yang dihukum penzina; yang diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh;
* Yang dihukum peminum arak, yang digalakkan gambaran arak;
*  Yang dihukum pencuri, yang dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah  dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan;
* Yang dihukum pemberontak; yang dibiarkan kezaliman penguasa.
Dalam  keadaan seperti itu, Dr Mohd Asri berkata, sudah pasti hudud tidak  dapat dilihat keindahannya, bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana  yang seperti itu, ia boleh  membinasakan masyarakat.
Menurutnya  lagi, hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam kerana ia adalah hukum  Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah.
“Asas  kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas  prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan  rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya.
“Tugas  kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan  dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang  mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan  kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata bahawa dalam negara  Islam, keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum  yang tidak membezakan antara hukuman terhadap orang besar dan orang  bawah.
“Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” katanya.
Beliau  menambah keadilan Islam perlu diperlihatkan melalui kepentingan setiap  individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga dan  kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.
Dr Mohd Asri  memberi contoh satu hadis di mana Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan agar  hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan atau pun musafir  kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan  suasana yang tidak kondusif.
Dengan melihat kepada nas yang  seperti itu, katanya, persoalan persekitaran ketika hukuman hudud  dilaksanakan perlu diambil kira.
Pada Januari lalu, Setiausaha  Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa  hukum hudud dan negara Islam yang diperjuangkan PAS tidak menjadi  agenda utama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
“Hudud bukan  agenda bersama Pakatan Rakyat, mana-mana negara nak laksanakan hukum  hudud kena ikut prasyarat… kalau tidak, tidak boleh (laksanakan).
“Antara  prasyarat adalah keadilan ekonomi, gaji minumum, kalau mencuri sebab  miskin tidak boleh laksanakan (hukum hudud), pemerintah yang perlu  dipersalahkan,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan  Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan berkata  bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.
“Pendirian  kita (UMNO), kita tak boleh melaksanakan dalam situasi dan keadaan  sekarang. Saya tak fikir dalam keadaan sekarang ia sesuai untuk  dilaksanakan. Itu pandangan kita. Kita tak persoalkan nak melaksanakan  hukum hudud,” katanya, mengikut laporan Bernama.
Sementara itu,  Harakahdaily melaporkan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr.  Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya akan dibuat  setelah diterima oleh rakyat selepas mengikut keadah dan saluran  demokrasi serta melalui proses legislatif-perundangan, dan bukan secara  paksaan.
“Serangan PAS terhadap rasuah, salah guna kuasa,  kronisme dan pembaziran UMNO serta urus tadbir khianat dan pincang,  adalah terbit dari prinsip Islam yang kami dukungi.
“Tidak dengan hudud pun kita boleh tentang UMNO dan Ketuanan Melayu yang sempit dengan Umnoputeranya,” kata beliau.
Ketua  Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pula  mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan media UMNO-BN yang  sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja  Pakatan Rakyat.
“Isu ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud,  isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja  diwujudkan menjelang pilihan raya akan datang.
“Isu sedemikian  diwujudkan untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang  mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga  asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan  rasuah secara besar-besaran,” katanya.  – Roketkini.com
 
