KUALA LUMPUR, 9 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bimbang "durian runtuh" yang dikatakan bakal diterima peneroka selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (PGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menggelapkan masa depan mereka.
Penyenaraian yang akan dilakukan sebelum pertengahan 2012 ini dibimbangi akan menjejaskan ekuiti Bumiputera dalam Felda kerana ia membolehkan pelbagai syarikat besar melabur dalam institusi tanah yang dikuasai Orang Melayu itu.
Mengulas pengumuman tersebut, Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, penyenaraian tersebut hanya akan membuatkan nasib peneroka terumbang ambing kerana yang akan mendapat keuntungan besar melalui penyenarain itu ialah syarikat-syarikat besar.
"Kebimbangan kita mengenai perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Walapun ucapan Perdana Menteri terlalu pendek tapi bila (Najib) sebut FGVH akan disenaraikan dan kononnya peneroka mendapat "durian runtuh", ini bukan durian runtuh tapi "bala" yang akan diterima peneroka.
"Yang dikatakan "durian runtuh" itu mungkin saham percuma kepada peneroka...mungkin jumlahnya sepuluh hingga 15 ribu tapi barang diingat, bila FGVH disenaraikan di BSKL, ekuiti Bumiputra akan berakhir sebab penyenaraian ini membolehkan pelbagai syarikat besar untuk melabur di Felda," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Dalam pembentangan belanjawan 2012 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bercadang menyenaraikan FGVH di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebelum pertengahan tahun 2012.
Mazlan sebaliknya mahu kerajaan mengutamakan teras utama Felda iaitu perladangan dan masa depan peneroka sendiri kerana pelbagai masalah utama peneroka masih belum selesai.
"Kita bukan anti pelaburan dan perniagaan tapi kerajaan harus mengutamakan nasib peneroka dahulu. Soal hutang peneroka, wang tanam semula, masalah selenggara kebun yang tidak diuruskan dengan baik masih membelenggu peneroka.
"Tapi Perdana Menteri langsung tidak menyentuh perkara ini sebaliknya dengan bangga mengumumkan penyenaraian FGVH yang saya pasti bukan peneroka yang mendapat untung besar," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Peluang kroni kaut untung
Dalam pada itu, Mazlan turut mendakwa penyenaraian tersebut merupakan "taktik" pihak berkuasa politik untuk terus mengaut keuntungan.
Menurutnya, pengumuman Najib itu dilihat kesinambungan daripada keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda yang "dikuasai" Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.
Ianya termasuk keputusan mencagarkan tanah Felda kepada FGVH yang dibuat tanpa kehadiran Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.
"Saya yakin penyenaraian ini tidak lebih daripada menghidupkan kroni mereka kerana mereka tahu asas kekuatan Felda...dengan aset tanah, sektor komoditi yang kukuh, ini peluang terbaik mengumpul kekayaan.
"Bila mereka buat keputusan soal pelaburan, tanah yang dicagar, keputusan melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda, ini perancangan mereka yang membawa kepada pengumuman Perdana Menteri," katanya.