14 Jun 2010

Utamakan golongan lemah, jangan terpedaya kehebatan luaran seseorang

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru kakitangan awam negeri ini supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat yang ‘lemah’ kerana mereka yang lebih layak dibantu dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan kehebatan luaran seseorang dalam membuat keputusan.

Beliau menegaskan bahawa, Islam juga menyatakan supaya manusia mengutamakan insan-insan yang lemah dalam menghulurkan bantuan.

“Sebagai pegawai kerajaan dan saya sebagai ketua kerajaan, dalam bertugas, niat dengan baik, maka Allah akan tolong dengan niat untuk tolong manusia. Kita perlu beri khidmat kepada rakyat sebaik mungkin, saya tak nak ada yang kena zalim.

“Sebagai kerajaan, kita didatangi oleh orang bawahan dan lemah dan susah, jadi kita perlu tolong mereka, ini kerana orang-orang ini lebih banyak memerlukan pertolongan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis perhimpunan bulanan warga Wisma Darul Aman di perkarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Sementara itu, mengenai isu lain, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak menyekat sebarang bentuk hiburan dalam negeri ini, tetapi ianya perlulah mempunyai landasan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Hiburan melampau mengundang kepada kerosakan akhlak berleluasa di kalangan belia. Isu pembuangan bayi yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini adalah contoh, akibat dari hiburan dan kebebasan melampau yang merosakkan masyarakat.

“Masalah sosial yang berlaku sekarang disebabkan oleh kebebasan berleluasa tanpa kawalan.

“Di Kedah, kita tak sekat hiburan, kita tak mau hiburan yang merosakkan masyarakat, terutama golongan belia,” ujar beliau.