09 November 2009

MKK perlu pastikan tiada penduduk yang terpinggir

ALOR SETAR – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah selaku ADUN Alor Mengkudu, YB. Dr Ismail Salleh menyeru kepada para penghulu serta ketua kampung perlu bekerjasama dalam memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada arus pembangunan kerajaan.

Katanya, ketua kampung di bawah seliaan penghulu berperanan sebagai penghubung di antara masyarakat dengan jabatan-jabatan kerajaan perlu mengenali penghulu masing-masing dalam memastikan moto Kedah Sejahtera tercapai.
Beliau berkata demikain dalam majlis taklimat dan dialog antara ADUN dengan Penghulu dan Majlis Ketua Kampung bagi DUN Angkat, Bakar Bata yang telah berlangsung di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar.
“Ketua kampung perlu berhubung serta kenal penghulu mereka agar mereka dapat bekerjasama, bergerak bersama serta berbincang projek yang bakal dilakukan bagi membangun dan memajukan kawasan pentadbiran masing-masing.
“Saya dalam rangka menyediakan direktori nama serta nombor telefon penghulu-penghulu serta ketua-ketua kampung sebagai rujukan tuan-tuan bagi memudahkan untuk berkomunikasi,” ujar beliau.
Tambah beliau, mesyuarat perlu diadakan antara penghulu dengan ketua kampung bagi memastikan masalah berbangkit mengenai penduduk dapat diselesaikan serta projek yang dirancangkan berjalan lancar.
“Bagi penghulu yang ada ketua kampung sentiasa, dari segi pentadbirannya perlu disusun dengan baik, iaitu dari segi mesyuarat secara rasmi atau tidak mesti diadakan, bila ada masalah apa-apa boleh dibawa berbincang untuk penyelesaian.
“Jika mesyuarat tak ada atau jarang-jarang, pelbagai masalah berbangkit akan timbul, banyak benda tergendala, bila ada mesyuarat, kita boleh follow-up masalah untuk diselesaikan,” jelas beliau.
Tambah YB. Dr Ismail. sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam pentadbiran negeri, ketua kampung perlu lebih bertanggungjawab ke atas tugas yang diamanahkan, yang mana produktiviti kerja mereka turut member impak kepada kerajaan.
“Kita perlu ada rasa gah yakni bukan sombong atau angkuh, tetapi perasaan tanggungjawab terhadap kampung seliaan kita dan turut rasa tanggungjawab dari segi Islam dalam menjalankan tugas, InsyaAllah diberkatiNya,” jelas beliau