07 Januari 2010

Keutamaan kerajaan ialah membaiki paip air bukan tarif


Oleh: AMELIA HAHSIM


ALOR SETAR, 6 Januari: Kerajaan Kedah sekarang giat membaiki paip air yang rosak dalam usaha memberi perkhidmatan bekalan air yang memuaskan kepada rakyat.

Demikian diberitahu oleh Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

“Tiada tindakan selama 50 tahun pemerintahan dahulu, paip-paip yang bocor menyebabkan kerajaan menanggung kerugian kerana banyak air hilang,” katanya.

Hala tuju kerajaan sekarang adalah untuk memberi keselesaan kepada rakyat, termasuklah urusan perkhidmatan air untuk semua kawasan dan tambahan tangki akan dibuat berdasarkan pertumbuhan penduduk di satu-satu kawasan.

“Ini adalah tujuan utama pengkorporatan bekalan air yang diambil aleh oleh Syarikat Air Darulaman (SADA) mulai Januari 2010,” tegasnya.

Tambah Menteri Besar itu, pengkorporatan berkenaan baru dilaksanakan pada Januari 2010 dan CEOnya (Ketua Pegawai Eksekutif) baru dilantik, Encik Azdmi Din sedang menyusun polisi kerjanya dan kenaikan tarif air seperti yang dihebohkan sepatutnya tidak timbul.

Selain itu, katanya, isu bekalan air bertekanan rendah dan tidak sampai kepada sesetengah pengguna adalah disebabkan perancangan pembangunan dahulu.

“Dulu dia buat untuk 100 ribu orang, sekarang apabila naik kawasan perumahan menjadi 300 ribu orang, tidak termasuk pembangunan lain pada satu kawasan, mana cukup air,” katanya.