04 Januari 2010

SIK BAKAL MENJADI DAERAH EKO-PELANCONGAN


SIK – Rancangan Tempatan adalah satu perancangan jangka panjang yang menentukan arah tuju dan corak pembangunan akan datang bagi sesuatu kawasan.

Draf Rancangan Tempatan Daerah Sik telah dimulakan kajian sejak tahun 2007 dan kini telah berada di peringkat akhir sebelum diwartakan oleh pihak berkuasa negeri.

Sebelum diwartakan, ianya perlu melalui proses pemeriksaan oleh orang awam, di mana mereka diberi ruang dan peluang untuk mengemukakan cadangan dan bantahan mereka terhadap cadangan yang dikemukakan di dalam kajian ini.

Matlamat Draf Rancangan Tempatan Daerah Sik 2007-2020 adalah membangunkan daerah Sik sebagai daerah eko-pelancongan dan pusat industri asas tani.

Daripada hasil kajian yang dijalankan, objektif pembangunan adalah untuk mencapai perancangan guna tanah secara cekap, optimum dan mapan, mengkomersialkan industri asas tani, meningkatkan taraf sistem pengangkutan, melengkapkan kemudahan infrastruktur dan utiliti, memantapkan sistem urus tadbir dan pentadbiran, meningkatkan kualiti kehidupan, membangunkan pusat pendidikan dan penyelidikan pertanian serta membangunkan industri eko-pelancongan.

Pengukuhan industri eko-pelancongan berdasarkan guna tanah terbesar daerah Sik adalah perhutanan yang meliputi kawasan seluas 123,309.57 hektar. Justeru daerah Sik berpotensi dimajukan sebagai daerah eko-pelancongan berasaskan khazanah alam semulajadi.

Pengkomersialan industri asas tani berdasarkan guna tanah kedua terbesar pertanian yang berkeluasan 31,259.83 hektar. Aktiviti pertanian memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi daerah Sik.

Daerah Sik telah dipilih sebagai daerah perintis asas tani di Malaysia pada tahun 2004 dengan aktiviti ditumpukan di Beris Jaya telah memberi kelebihan kepada daerah Sik untuk yang bakal wujud sebagai Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Program Industri Asas Tani selaras dengan wawasan pembangunan Rancangan Tempatan Daerah Sik 2020.

Bagi menampung keperluan permintaan guna tanah perumahan di daerah Sik sehingga tahun 2020, seluas 5,799.7 hektar tanah telah diperuntukkan yang lebih tertumpu di pusat pertumbuhan utama iaitu Bandar Sik dan juga pusat-pusat petempatan kecil seperti di Gulau dan Jeneri